Snek sensasi Timur Tengah

Snek sensasi Timur Tengah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Penggemar snek dan makanan ringan tempatan tidak perlu lagi ragu-ragu apabila memilih snek yang halal kerana kini terdapat 14 jenis biskut dan lapan perisa cip kentang buatan Arab Saudi untuk memenuhi cita rasa penduduk tempatan.

Antara yang istimewa dan mesti dirasai oleh umat Islam ialah biskut kurma berjenama Ma’amoul daripada Memories yang dihasilkan daripada buah kurma Arab Saudi dan dijual pada harga menarik $3.60 sekotak yang mengandungi 12 paket kecil.

Produk snek, jus buah-buahan dan biskut wafer yang diimport oleh Syarikat MD Blauberg International Sdn Bhd dan diedarkan oleh Syarikat Aliaa Sdn Bhd itu diperkenalkan kepada para pemberita pada persida-ngan akhbar yang diadakan di Pejabat Syarikat Aliaa Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Lambak Kanan, hari ini.

Hadir pada sesi media itu ialah M. Imad Aljandali dari Syarikat MD Baluberg International Sdn Bhd dan para pegawai Syarikat Aliaa Sdn Bhd.

Menurut M. Imad Aljandali, selain snek, syarikatnya turut mengimport jus buah-buahan berjenama Ceasar dan beberapa produk makanan ringan lain berjenama Al-Batal, Teashop dan Memories.

M. Imad Aljandali menunjukkan produk makanan halal yang diimportnya untuk pasaran tempatan.
M. Imad Aljandali menunjukkan produk makanan halal yang diimportnya untuk pasaran tempatan.
Sebahagian daripada produk snek dan jus halal edaran Syarikat Aliaa yang sudah berada di pasaran.
Sebahagian daripada produk snek dan jus halal edaran Syarikat Aliaa yang sudah berada di pasaran.

Ditanya apa yang membezakan produk edarannya dengan produk snek lain di pasaran, Aljandali menjelaskan, matlamat utama syarikatnya adalah untuk mengimport produk makanan ringan yang tidak diragui kehalalannya untuk penggemar tempatan.

Di samping itu, harga bagi setiap produk snek yang di bawah harga $1, bagi pek kecil, dirasakan amat kompetitif berbanding harga produk bagi kategori sama keluaran jenama lain.

“Kami hanya mengimport produk makanan yang halal dan diperbuat daripada bahan bermutu tinggi yang dapat dinikmati oleh kanak-kanak dan orang ramai pada harga yang lebih rendah,” kata Aljandali yang telah mengimport produk makanan halal ke negara ini sejak sepuluh tahun lalu.

Beliau seterusnya menjelaskan, walaupun syarikat pengeluar makanan yang diimportnya itu berasal dari Arab Saudi, namun pengilangan produk tertentu dijalankan di kilang cawangannya di Itali dan Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA