SNJ anjur Majlis Konvokesyen

SNJ anjur Majlis Konvokesyen

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 20 Nov – Sekolah Nusa Jaya (SNJ) Tutong, petang tadi, telah mengadakan Majlis Konvokesyen dan Pesta Pendidikan ke-21, yang merupakan aktiviti tahunan khasnya, di Dewan Seri Kenangan, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Pengiran Hajah Norashikin selaku wakil Pengetua SNJ, Prof. Dr. Ds Pengiran Amir Mohd Yussof bin Pengiran Abbas Al-Haj, semasa menyampaikan ucapan alu-aluan berkata SNJ telah memberikan perkhidmatan dalam bidang pendidikan kira-kira 21 tahun.

Dalam jangka usianya ke arah kedewasaan ini, kemajuan yang telah disumbangkan berjalan serentak mengikut perancangan melalui aktiviti-aktiviti dalaman atau pun luar sekolah, jelasnya lagi.

Beliau turut mengongsikan bahawa beberapa tahun yang lalu SNJ telah memperolehi keputusan yang cemerlang dalam PSR iaitu 100% lulus yang membanggakan pihak sekolah dan ibu bapa murid-murid berkenaan. Majlis turut diserikan lagi dengan beberapa persembahan pentas termasuk Tausyeh ‘Qasidah Jalaliyah’ oleh Primary Girls, beberapa persembahan nyanyian, Nasyid ‘Kun Anta’ dan persembahan tarian ‘Chammak Challo’ oleh murid-murid SNJ Tutong.

Pemangku Pegawai Daerah Tutong, menyampaikan sijil kepada graduan-graduan kecil dari kindergarten 3.
Pemangku Pegawai Daerah Tutong, menyampaikan sijil kepada graduan-graduan kecil dari kindergarten 3.
Pengiran Hajah Norashikin selaku wakil ucapan Pengetua Sekolah Nusa Jaya Tahun 2015, Prof. Dr. Ds Pengiran Amir Mohd Yussof menyampaikan ucapan alu-aluan.
Pengiran Hajah Norashikin selaku wakil ucapan Pengetua Sekolah Nusa Jaya Tahun 2015, Prof. Dr. Ds Pengiran Amir Mohd Yussof menyampaikan ucapan alu-aluan.

Kemuncak majlis ialah penyampaian sijil kepada seramai 35 orang graduan cilik dari Kindergarten 3 dan penyampaian hadiah murid cemerlang kepada 33 orang murid dari kelas Kindergarten 2 dan 3, serta Tahun 1 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diikuti lagi dengan penyampaian hadiah daripada Insurans Islam TAIB kepada enam orang murid cemerlang Tahun 2015 yang disampaikan oleh Pengurus Perkembangan Pemasaran dan Produk Insurans Islam TAIB, Haji Abdul Majid bin Haji Hidup.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk meraikan kejayaan dan kegembiraan murid-murid prasekolah yang telah menamatkan sesi pembelajaran mereka pada tahun ini dan seterusnya mengalu-alukan kenaikan mereka ke Tahun 1.