Snowden kritik hak asasi Rusia

Snowden kritik hak asasi Rusia

OSLO, 6 Sept (AFP) – Bekas kontraktor perisikan Amerika Syarikat Edward Snowden semalam mengkritik Rusia – negara yang memberikannya suaka – dengan menyifatkan tindakan keras negara itu ke atas hak asasi manusia dan kebebasan dalam talian sebagai “pada dasarnya salah” dan berkata beliau lebih memilihy untuk tidak hidup dalam buangan.

Snowden berkata sekatan Moscow ke atas laman sesawang adalah “satu kesilapan dalam dasar” dan “pada asasnya salah” tatkala beliau menerima anugerah kebebasan bersuara Norway melalui persidangan video dari Rusia.

“Adalah salah di Rusia, dan ia juga salah di mana-mana,” kata Snowden, 32, yang hidup dalam buangan di Rusia dua tahun lepas selepas Washington memfailkan waran bagi penangkapannya kerana membocorkan dokumen mengenai program pengawasan Amerika Syarikat.

“Saya agak kritikal pada masa lepas dan akan terus dengan pendirian yang sama pada masa depan, kerana kempen ini yang kita lihat di Rusia adalah tidak betul dan secara dasarnya adalah salah,” katanya.

Gambar fail bertarikh 2 Februari 2015 menunjukkan bekas kontraktor NSA ketika kemunculannya dalam persidangan video anjuran kumpulan pelajar di Toronto, Kanada. – Reuters
Gambar fail bertarikh 2 Februari 2015 menunjukkan bekas kontraktor NSA ketika kemunculannya dalam persidangan video anjuran kumpulan pelajar di Toronto, Kanada. – Reuters

Snowden berkata beliau sebenarnya tidak berhasrat untuk pergi ke Rusia, yang tidak pernah ada dalam rancangan saya” dan cuma transit di negara itu sebelum ke Amerika Latin apabila para pegawai AS membatalkan pasportnya.

“Saya memohon suaka di 21 negara,” beliau memberitahu para audiens di majlis penganugerahan tersebut yang berlangsung di Norway. “Semua negara lain tidak memberikan sebarang jawapan, manakala Rusia pula adalah negara yang terakhir saya mengemukakan permohonan.”

Pakar komputer itu meninggalkan jawatannya dengan kontraktor bagi Agensi Keselamatan Kebangsaan AS (NSA) di Hawaii pada Mei 2013 bagi tujuan membocorkan maklumat sulit kepada akhbar British, The Guardian dari Hong Kong.

ARTIKEL YANG SAMA