SOBD anjur ceramah pendidikan kesihatan

SOBD anjur ceramah pendidikan kesihatan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan seksualiti serta cabaran-cabarannya, Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) telah mengadakan Forum Ceramah Pendidikan Kesihatan yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI).

Hadir bagi menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Pendidikan Kesihatan Reproduksi dan Seksual bagi Kanak-kanak dan Remaja yang Berkeperluan Khas’ itu ialah penceramah undangan dari Malaysia, Perunding Psikologi Klinikal, Hajah Azlina Roszy binti Mohamad Gaffar.

Ceramah petang tadi itu telah dihadiri oleh lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dan remaja yang berkeperluan khas.

Presiden SOBD, Lt. Kol. (B) Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut dalam ucapannya selaku pengerusi majlis menjelaskan bahawa ceramah ini akan dapat memberikan kefahaman dan konsep mengenai pendidikan seksualiti khas bagi ibu-bapa, guru-guru, belia dan beliawanis yang mempunyai kanak-kanak dan remaja yang berkeperluan khas.

Beliau menyatakan lagi bahawa isu keperluan pendidikan seksualiti dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas khususnya perlu diberikan perhatian serius dan dikaji dengan lebih mendalam.

Lt. Kol. (B) Pengiran Haji Rambli semasa menyampaikan ucapannya.
Lt. Kol. (B) Pengiran Haji Rambli semasa menyampaikan ucapannya.

Prasangka negatif terhadap pendidikan seksualiti muncul kerana ramai orang beranggapan bahawa pendidikan seksualiti bermaksud pendidikan berkaitan dengan perlakuan seks.

Sebaliknya, jelas beliau, ia mencakupi dimensi yang luas dan meliputi pelbagai perspektif kehidupan manusia dan bukan terbatas kepada makna seksual semata-mata.

“Walhal, pendidikan seksualiti yang berkualiti akan dapat membantu kanak-kanak memahami perkembangan seksual yang berlaku kepada diri mereka serta dapat mengelakkan risiko penganiayaan seksual.”

Hajah Azlina Roszy dalam ceramahnya menyentuh mengenai pengertian pendidikan kesihatan reproduksi dan seksual.

Beliau menjelaskan, kesihatan reproduksi adalah di mana manusia boleh bertanggungjawab serta meneruskan tugas dan tanggungjawab berkaitan dengan hal-hal seksual.

Menurut beliau lagi, mereka yang berkeperluan khas memang mempunyai keperluan seksual tetapi mereka adalah tiga kali ganda lebih berkemungkinan untuk mengalami keganasan seksual dan mereka mempunyai risiko kehamilan yang tinggi dan risiko jangkitan melalui hubungan seks (STI) dan HIV.

Ini adalah kerana mereka tidak mempunyai keupayaan daripada sudut membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan kemahiran mendapat maklumat yang betul serta tidak mempunyai kuasa terhadap diri sendiri kerana mereka tidak dapat berdikari dengan cara tersendiri.

Beliau menyatakan, antara cara-cara untuk mengatasi ini adalah dengan berkomunikasi dengan anak-anak mereka yang berkeperluan khas daripada peringkat awal lagi sejak mereka berumur seawal empat tahun dan mendidik mereka secara berperingkat untuk sering bercakap bersama ibu bapa mereka.

Beliau juga menyeru para ibu bapa untuk menaruh kepercayaan kepada anak-anak mereka dan mendengarkan dengan tekun tentang apa yang mereka ingin sampaikan kerana mereka akan merasa takut jika mendapat tindak balas yang tidak baik.

Hajah Azlina Roszy dalam ceramahnya juga menyentuh mengenai kematangan otak dan akil baligh, perkembangan perubahan dalam kalangan remaja, cara-cara mengajar kalangan remaja yang berkeperluan khas, isu seksualiti bagi remaja yang berkeperluan khas dan memperkasa remaja dengan pengetahuan dan komunikasi yang lebih baik.

ARTIKEL YANG SAMA