SOBD sertai TAFISA ke-6

SOBD sertai TAFISA ke-6

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Persatuan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) akan menyertai The 6th TAFISA World Sport for All Games yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia dan disertai oleh para peserta kurang upaya dari 170 negara bagi menyemarakkan temasya sukan berkenaan.

Mengetuai delegasi Brunei Darussalam yang berlepas hari ini, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas ialah Ahli Lembaga Pengerusi SOBD, Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut, dibantu oleh penolong ketua delegasi, Rachael Lee dan disertai oleh Ketua Jurulatih, Awang Suhaili bin Mohammad Yusoff dan Penolong Jurulatih, Julainah karim.

Menurut Awang Suhaili semasa ditemui berkata bahawa pencapaian pingat adalah menjadi keutamaan, memandangkan penyertaan kali ini sememangnya amat sukar untuk menentukan pasukan yang akan menjadi pencabar dan saingan kepada pihak SOBD dalam kejohanan ini.

“Kita akan menyertai acara perseorangan dan berdua (berkumpulan) dan saya yakin peserta kita akan mampu membuat yang terbaik dengan berbekal pengalaman yang diperoleh, ianya akan dapat membantu para peserta dalam kejohanan kali ini.

Gambar ramai para peserta SOBD di Lapangan Terbang Antarbangsa Brunei sebelum berlepas kelmarin. – Gambar oleh Fadhil Yunos
Gambar ramai para peserta SOBD di Lapangan Terbang Antarbangsa Brunei sebelum berlepas kelmarin. – Gambar oleh Fadhil Yunos

Tambahnya lagi seorang atlet baru akan menyertai sukan tersebut kali ini dan baginya ia merupakan peluang pendedahan yang sangat baik.

Mengulas mengenai pemilihan, menurutnya pemilihan dibuat berdasarkan prestasi dan penyertaan mereka dalam beberapa kejohanan sebelum ini dan semua warga kurang upaya akan diberikan peluang melalui bantuan Unit Pendidikan Khas, Pusat Ehsan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat. Pasukan Brunei Darussalam akan menyertai acara ‘Unified Team Bocce’ yang antaranya akan menyaksikan peserta kurang upaya antaranya Awang Khairul Amzar bin Khalid dan Dayang Syamsiah binti Takong, yang akan digandingkan bersama dua lagi atlet iaitu Nabil bin Esa dan Subinoorhayati Bibi.

The 6th TAFISA World Sport for All Games yang dikendalikan oleh UNESCO dan IOC akan melibatkan 12,000 peserta dari 110 negara ahli TAFISA dengan tema ‘Unity in Diversity’.

ARTIKEL YANG SAMA