SOBD tekad bawa pulang piala kejohanan

SOBD tekad bawa pulang piala kejohanan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Pasukan Bola Sepak Lima Sepasukan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) yakin latihan yang dijalani akan membolehkan mereka membawa pulang piala kemenangan pada Kejohanan Piala Borneo 2015 yang akan berlangsung di Berau, Kalimantan, minggu depan.

Ketua Delegasi negara, Haji Ismail bin Haji Mohammad berkata walaupun Pasukan Bola Sepak SOBD kalah tipis melalui tendangan penalti pada kejohanan di Tarakan, Kalimantan tahun lalu, kini skuad negara telah bersedia untuk mengulangi kemenangan yang diperoleh di Cebu, Filipina pada 2012.

Menurutnya, pada kejohanan kali ini SOBD akan menghantar seramai lapan pemain bola istimewa bersama tiga pegawai ke kejohanan kali kelapan tersebut yang akan bermula dari 18 sehingga 22 November 2015.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada majlis penyerahan jersi tajaan Armtrix oleh penaja, Aaron Goh dari Heroes Event Management bagi skuad bola sepak lima sepasukan negara.

Haji Ismail (keempat dari kiri) bersama Aaron Goh yang memegang bola, pegawai serta ahli Pasukan Bola Sepak SOBD di upacara penyerahan jersi tajaan di Ibu Pejabat SOBD di Jalan Pasar Baharu Gadong.
Haji Ismail (keempat dari kiri) bersama Aaron Goh yang memegang bola, pegawai serta ahli Pasukan Bola Sepak SOBD di upacara penyerahan jersi tajaan di Ibu Pejabat SOBD di Jalan Pasar Baharu Gadong.

Majlis tersebut berlangsung di Ibu Pejabat SOBD di Jalan Pasar Gadong, hari ini.

Menurut Aaron yang juga pengasas Heroes Event Management, syarikatnya adalah antara penyokong SOBD dan sering menjadi menaja aktiviti persatuan itu sejak sekian lama.

Ditanya apa dorongan yang merapatkan syarikatnya dengan SOBD, beliau menjawab antara dorongan yang sering membuatnya untuk terus menyumbang kepada persatuan itu ialah kemajuan dan kejayaan yang sering dicapai oleh SOBD dalam kejohanan peringkat antarabangsa dan sekali gus mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam.

Kejohanan Piala Borneo 2015 disertai oleh lima negeri iaitu Negara Brunei Darussalam, Tarakan Kalimantan, Berau, Sibu dan Labuan.

ARTIKEL YANG SAMA