SOBD tekad ulangi kejayaan di Sibu

SOBD tekad ulangi kejayaan di Sibu

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Skuad Bola Sepak Lima Sepasukan Olimpik Khas Negara Brunei Darussalam (SOBD) bertekad untuk mengulangi semula kejayaan yang diraih di Sibu, Sarawak pada 2012 dan membawa pulang Piala Borneo pada kejohanan kali ini.

Harapan itu disuarakan oleh Ketua Delegasi Kejohanan Olimpik Khas Piala Borneo Kelapan 2015, Haji Ismail bin Haji Mohamad pada Majlis Penyerahan Bendera kepada delegasi itu sejurus sebelum mereka berlepas ke Berau, Kalimantan, Indonesia, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Hadir bagi menyerahkan bendera negara kepada ketua delegasi itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil. Hadir sama bagi mengucapkan selamat jalan kepada delegasi negara ialah Pengerusi SOBD, Haji Mahrub bin Murni.

Tetamu kehormat (tengah) bergambar bersama delegasi SOBD sejurus sebelum mereka berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Tetamu kehormat (tengah) bergambar bersama delegasi SOBD sejurus sebelum mereka berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Menurut Haji Ismail, keyakinan beliau berasaskan bahawa pada peringkat akhir kejohanan tahun lalu, Pasukan Olimpik Khas negara ini telah menentang pasukan dari Berau dan berkesudahan dengan sepakan penalti yang mana pasukan negara kalah dengan satu jaringan gol saja.

Sehubungan itu, dengan latihan lengkap yang telah dijalani pasukan negara pada kali ini, beliau yakin Piala Borneo 2015 bakal menjadi milik SOBD.

Seramai lapan atlet istimewa bersama tiga pegawai yang akan mewakili negara dalam perlawanan bola sepak lima sepasukan dalam kejohanan yang akan berlangsung dari 18 hingga 22 November 2015.