Socceroos cemas di gelanggang Gajah Putih

Socceroos cemas di gelanggang Gajah Putih

BANGKOK, 16 Nov – Sepakan penalti Mile Jedinak menyelamatkan Australia daripada diaibkan Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 yang berakhir dengan keputusan 2-2 di Stadium Rajamangala hari ini.

Jedinak menyempurnakan sepakan penalti keduanya pada minit ke-65 untuk memastikan satu mata buat juara Asia itu, yang tergelincir ke tangga ketiga Kumpulan B, manakala Thailand kekal di tangga tercorot walaupun mengutip mata pertama dalam saingan pusingan ketiga itu.

Thailand sebelum ini cuba menangguhkan pertemuan berkenaan kerana masih berkabung dengan kematian Raja Bhumibol Adulaydej yang meninggal dunia bulan lalu, tetapi ia tetap dilangsungkan mengikut jadual asal.

Australia bermula cemerlang dan mendapat sepakan penalti pada minit kelapan yang disempurnakan kapten pasukan, Jedinak yang beraksi untuk kelab Inggeris Aston Villa.

Thailand bangkit menyamakan kedudukan menerusi Teerasil, dan dia meletakkan tuan rumah di depan hasil sepakan penalti minit ke-60 selepas kapten, Theerathon Bunmathan dijatuhkan dalam kotak penalti.

Bagaimanapun Australia turut mendapat sepakan penalti apabila Jedinak tersungkur di dalam kotak penalti, sebelum menyamakan kedudukan.

Dengan keputusan semalam, Australia jatuh ke tangga ketiga dan Thailand mereput di tempat tercorot walaupun mendapat satu mata selepas mempamerkan persembahan mengagumkan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA