SoftBank beli pereka cip ARM AS$32b

SoftBank beli pereka cip ARM AS$32b

LONDON, 18 Julai – Syarikat gergasi telefon bimbit Jepun, SoftBank telah bersetuju pengambilalihan tunai pereka cip iPhone, ARM Holdings sekitar £24.3 bilion, menurut kedua-duanya hari ini, dalam rangsangan pelaburan besar selepas Brexit Britain.

“Kami sudah lama mengagumi ARM sebagai syarikat teknologi yang sangat dihormati dan terkenal di dunia yang pada takat ini sebagai ketua pasaran dalam bidangnya,” kata ketua eksekutif dan pengerusi SoftBank, Masayoshi Son ketika mengatakan nilai perjanjian kumpulan Britain itu sekitar AS$32 bilion atau 29 bilion euro.

Son menambah, perjanjian itu menandakan ‘komitmen kukuh kepada United Kingdom (UK) dan manfaat kompetitif yang diberikan oleh sekumpulan bakat teknologi dan sains’ SoftBank di bandar universiti Cambridge tempat ARM beribu pejabat.

Menteri kewangan baru Britain, Philip Hammond memuji perjanjian mega itu yang muncul di tengah-tengah amaran tentang pertumbuhan lembap negara itu selepas undian keluarnya dari Kesatuan Eropah bulan lalu.

Philip Hammond (kiri) mengalu-alukan Masayoshi Son di luar 11 Downing Street di tengah London pada 18 Julai. – AFP
Philip Hammond (kiri) mengalu-alukan Masayoshi Son di luar 11 Downing Street di tengah London pada 18 Julai. – AFP

“Pelaburan £24 bilion ini akan menjadi yang terbesar dari Asia di UK,” kata Hammond dalam satu kenyataan berasingan.

“Ia akan menjamin untuk menggandakan lagi bilangan pekerjaan di ARM di UK selama lima tahun dan mengubah syarikat Britain ini menjadi fenomena global.

“Hanya tiga minggu selepas keputusan referendum, ia menunjukkan bahawa Britain tidak hilang daya penariknya kepada para pelabur antarabangsa. Britain terbuka bagi perniagaan – dan terbuka kepada pelaburan asing,” kata Canselor Exchequer, Hammond. – AFP