SoftBank labur AS$25 b

SoftBank labur AS$25 b

TOKYO, 14 Okt – Penyedia perkhidmatan telefon Jepun SoftBank hari ini berkata ia berharap menambah sebanyak-banyaknya AS$100 bilion bagi dana pelaburan teknologi baru yang telah ditubuhkannya dalam usaha sama dengan Arab Saudi.

Menurut syarikat itu ia akan melabur kira-kira AS$25 bilion dalam SoftBank Vision Fund dalam tempoh lima tahun, manakala dana pelaburan awam Saudi akan ‘menimbangkan melabur dalam dana itu dan menjadi rakan utama pelaburan.”

Sumbangan Saudi mungkin mencecah AS$45 bilion, menurutnya tentang perjanjian tidak rasmi. SoftBank juga menekankan tentang ‘para pelabur besar sejagat’ yang tidak dikenal pasti yang juga mungkin menyertai dalam dana itu, yang dibentuk untuk melabur dalam firma-firma teknologi yang mempunyai harapan cerah.

“Keseluruhan saiz potensi dana itu boleh meningkat hingga AS$100 bilion,” menurutnya dalam satu kenyataan.

“Saham-saham SoftBank yang tersenarai di Tokyo melonjak 3.23 peratus kepada 6,706 yen pagi ini.

“SoftBank mempunyai rekod pelaburan berjaya. Ia sedang mencari satu lagi Alibaba,” Hideki Yasuda, penganalisis Ace Research Institute, memberitahu Bloomberg News.

Pengasas SoftBank yang ranggi, Masayoshi Son telah menerajui firma itu dalam siri-siri pemerolehan firma besar dan kecil, dengan kebanyakannya memperlihatkan ia mengatasi masa mereka, termasuklah pelaburan awal firma itu dalam Alibaba, firma China yang serupa dengan eBay.

Ia mengaut keuntungan besar dari penjualan sebahagian sahamnya dalam Alibaba, manakala pada Jun lalu ia telah menjual pembuat mainan dari Finland, Supercell Oy, pencipta ‘Clash of Clans’ kepada sebuah syarikat gergasi Internet China, Tencent dengan nilai AS$8.6 bilion.

Namun unit telefonnya di AS, Sprint masih tidak meraih keuntungan dan sebilangan penganalisis telah mempersoalkan urusan SoftBank baru-baru ini yang begitu ditonjolkan – iaitu pembelian pereka cip iPhone dari Britain bernilai AS$32 bilion, ARM Holdings.

Kebimbangan meningkat tentang kunci kira-kiranya dengan Softbank yang menanggung hutang lebih AS$100 bilion yang sebahagian besarnya terikat dengan siri-siri pemerolehan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA