SOGIP bukti kemampuan minyak, gas Sabah

SOGIP bukti kemampuan minyak, gas Sabah

KOTA KINABALU, 8 Ogos – Pembangunan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) membuktikan kerajaan negeri Sabah mempunyai visi jangka panjang untuk memajukan sektor minyak dan gas di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata antara projek berimpak tinggi yang terletak di SOGIP ialah projek Sabah Amonia Urea (SAMUR) yang dijangka siap pada hujung tahun ini dan mula beroperasi pada 2017.

“Pelaksanaan projek SAMUR merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan oleh rakyat di negeri ini kerana projek berimpak tinggi ini akan menjadikan negeri Sabah sebagai salah satu pemain utama industri baja di rantau ini,” katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk James Ratib (BN-Sugut) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

SAMUR bukan sahaja akan meningkatkan imej Sabah sebagai pengeluar urea terbesar negara, kata beliau, malah akan menjana pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan bakal menarik ramai pakar ke Sabah dalam jangka masa panjang.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (kanan) bersalaman dengan Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri sebelum memulakan Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan Pertama Kali Ke-14 di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini. – Bernama
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (kanan) bersalaman dengan Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri sebelum memulakan Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan Pertama Kali Ke-14 di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini. – Bernama

Musa berkata projek SAMUR juga menjadi pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi Sipitang dengan menerajui pembangunan di daerah berkenaan sekali gus mentransformasikan landskap daerah itu, termasuk meningkatkan nilai tanah di kawasan berkenaan.

Katanya sejak kewujudan projek berkenaan, harga dan sewa hartanah di daerah Sipitang telah melonjak manakala industri perkhidmatan seperti restoran dan penginapan pesat berkembang.

Selain itu, kata Musa pembangunan sektor minyak dan gas telah berjaya menarik minat pelabur asing di SOGIP termasuk China National Complete Plant Import and Export Corporation, Sichuan Chemical Holding (Group) Co. Ltd dan China Chengdu Engineering Co. Ltd.

Katanya syarikat berkenaan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sabah Oil and Gas Development Corporation pada 22 Julai lalu untuk menjalankan kajian daya maju bagi pengeluaran urea dan amonia bagi pembangunan industri petrokimia di SOGIP.

Beliau berkata sektor minyak dan gas akan terus menjadi antara sektor penyumbang penting kepada ekonomi Sabah.

“Pada masa ini, 30 peratus daripada rizab minyak negara ini terletak di luar pesisir pantai negeri Sabah,” katanya.

Musa berkata 30 peratus rizab minyak berkenaan belum termasuk rizab minyak baru yang sedang diteroka di kawasan darat di Sabah, dan ini menjadikan industri petrokimia berpotensi besar di negeri ini.

Justeru katanya, Sabah akan terus mengukuhkan kerjasama dengan Petronas untuk membangunkan industri minyak dan gas terutama industri petrokimia.

“Saya percaya walaupun di sebalik kelembapan semasa ekonomi global, komoditi minyak akan terus menjadi emas hitam yang akan menerima permintaan yang tinggi pada masa hadapan dan akan terus menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri ini,” katanya. – Bernama