Sokong aktiviti kebudayaan, pelancongan di Sabah

Sokong aktiviti kebudayaan, pelancongan di Sabah

TUARAN, 14 Feb – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan sentiasa membantu serta memberi sokongan terhadap semua aktiviti berkaitan kebudayaan dan pelancongan di Sabah, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan elemen alam semula jadi dan kebudayaan pelbagai etnik yang menjadi antara faktor tarikan pelancong ke Sabah, terus dipertahankan.

“Elemen kebudayaan dan alam semula sangat penting dalam sektor pelancongan dan Sabah memang kaya dengan budaya dan keindahan alam semula jadi.

“Oleh itu kami berharap elemen itu, khususnya keindahan alam semula jadi dapat terus dipelihara dan kami akan membantu serta memberi sokongan dalam usaha-usaha itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan Tagal Kampung Poturidong di Kiulu, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kiulu. Mohamed Nazri berkata pihak kementerian juga akan terus mempromosikan Sabah kepada pelancong di serata dunia.

“Kami sedia maklum ramai pelancong luar khususnya dari China datang ke negeri ini. Pelancong berkenaan suka dengan budaya, makanan, alam semula jadi dan cara layanan yang sangat baik oleh masyarakat di Sabah,” katanya.