Sokong amalan sihat

Sokong amalan sihat

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Sebagai salah satu projek bulanannya dalam menyokong amalan penyusuan susu ibu secara berterusan, Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Negara Brunei Darussalam (W.I) dan Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA), telah menyampaikan kain penutup penyusuan susu ibu (PSI) kepada ibu-ibu baru bersalin di Wad 33, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), petang tadi.

Hadir bagi menyampaikan kain penutup penyusuan susu ibu ialah Presiden BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali.

Datin Hajah Masni, semasa ditemui Media Permata, menjelaskan aktiviti tersebut adalah bagi menyokong Kementerian Kesihatan ke arah mempromosikan amalan penyusuan susu ibu, yang juga merupakan matlamat negara bagi mencapai 50 peratus penyusuan susu ibu sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Sebagai ahli Kumpulan Pendorong Penyusuan Susu Ibu, Datin Hajah Masni meluahkan harapan agar persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO), Kumpulan Pendorong Penyusuan Susu Ibu dan para pekerja di sektor swasta menyokong matlamat tersebut dalam merealisasikan visi tahun 2035.

Beliau seterusnya berkata tema ‘Hubungan antara Ibu dan Anak’ dipilih untuk aktiviti itu bagi mempromosi dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan amalan penyusuan susu ibu yang meningkatkan lagi hubungan rapat antara ibu dan anak.

Datin Hajah Masni ketika menyerahkan kain penutup PSI bagi menyokong amalan penyusuan susu ibu.
Datin Hajah Masni ketika menyerahkan kain penutup PSI bagi menyokong amalan penyusuan susu ibu.
Salah seorang pesakit yang baru melahirkan anak menerima kain penutup PSI daripada Datin Hajah Masni.
Salah seorang pesakit yang baru melahirkan anak menerima kain penutup PSI daripada Datin Hajah Masni.

Menerusi tema itu juga, ia menunjukkan cara yang berkesan untuk merapatkan hubungan antara ibu dan anak. Melalui penyusuan susu ibu, anak-anak mereka akan dapat membesar dengan nilai-nilai positif dan dapat melindungi mereka daripada persekitaran negatif, jelas Datin lagi.

Menjelaskan mengenai kain penutup penyusuan susu itu merupakan hasil kutipan derma ahli-ahli Jawatankuasa BASMIDA, W.I dan orang perseorangan bagi menyokong amalan penyusuan susu ibu.

Orang ramai yang berkeinginan untuk menderma adalah dialu-alukan dan mereka yang ingin menyampaikan sumbangan bolehlah menghubungi setiausaha W.I di talian 8753553 atau 8756869.

Datin Hajah Masni juga mengongsikan sedikit mengenai sejarah penyusuan susu ibu di negara ini yang mana pada tahun 1979, terjadinya peristiwa ramai anak-anak damit di negara ini mengalami sakit cirit birit dan pada waktu itu, doktor telah menyediakan satu wad khas untuk menyiasat puncanya.

Setelah disiasat, kebanyakan anak damit menyusu melalui botol yang tidak dicuci sepenuhnya (sterilized), dan berikutan daripada itu kempen amalan penyusuan susu ibu telah diadakan oleh Kementerian Kesihatan.