Sokong belia tempatan bekerja di sektor swasta

Sokong belia tempatan bekerja di sektor swasta

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah menyertai pameran kerjaya ‘Market Day’ Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) yang berlangsung selama dua hari, hingga hari ini, di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba.

Penyertaan berkenaan merupakan sebagai sebahagian daripada inisiatif TelBru untuk menyokong objektif kebangsaan mengenai pembangunan sumber-sumber manusia dan untuk menggalakkan para belia tempatan bekerja di sektor swasta serta selaras dengan Wawasan 2035, menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

IBTE ‘Market Day’ yang disertai oleh pelbagai syarikat termasuk TelBru, merupakan inisiatif IBTE untuk menyediakan perkhidmatan penting kepada pihak-pihak berkepentingan mereka, di mana para pencari kerja daripada kalangan graduan institut berkenaan akan berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan berkaitan dengan latar belakang pendidikan mereka.

Belia tempatan melihat secara dekat jawatan-jawatan yang ditawarkan di TelBru sambil diterangkan oleh kakitangan TelBru yang bertugas.
Belia tempatan melihat secara dekat jawatan-jawatan yang ditawarkan di TelBru sambil diterangkan oleh kakitangan TelBru yang bertugas.

Jawatan-jawatan kosong yang ditawarkan oleh TelBru memerlukan kelayakan daripada ijazah hingga diploma kebangsaan tinggi, diploma kebangsaan dan O Level yang merangkumi skop tugas seperti pengurus projek teknologi dan operasi, eksekutif rendah pengurusan kemudahan-kemudahan, pegawai perniagaan global dan barisan pekerja jualan.

Menurut kenyataan itu, pada April 2014, TelBru telah memeterai perjanjian dengan IBTE untuk menaja 11 orang pelajar dari Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal bagi mengambil Sijil Pendidikan Teknikal Kebangsaan Tinggi (HNTec) dalam bidang Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat selama dua tahun, iaitu kursus yang baru diperkenalkan bersama oleh TelBru dan IBTE yang telah bermula Januari lalu.

Perjanjian itu juga membolehkan kerjasama kukuh di antara kedua-dua belah pihak bagi menyediakan pendidikan dan latihan yang berkesan kos dan berkualiti.

ARTIKEL YANG SAMA