Sokong BNM urus dasar monetari negara

Sokong BNM urus dasar monetari negara

PUTRAJAYA, 20 Ogos – Kerajaan akan tetap menyokong kebebasan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mengurus dasar monetari negara, di sampinglain-lain tanggungjawab yang dimandatkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata kerajaan Malaysia juga komited dalam meneruskan mlangkah-langkah pembaharuan dan pengukuhan kedudukan fiskal, termasuk meneruskan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengurangan defisit fiskal secara berperingkat ke arah mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan tidak akan memperkenalkan kawalan modal atau tambatan ringgit memandangkan asas ekonomi negara yang kukuh dan persekitaran yang berbeza berbanding semasa krisis kewangan Asia pada 1997-1998.

“Sudah menjadi tanggungjawab BNM untuk menguruskan dasar monetari negara. Sehubungan itu, kerajaan tetap menyokong kebebasan BNM tersebut di samping lain-lain tanggungjawab yang dimandatkan,” katanya pada sidang media di Perdana Putra di sini.

Najib berkata kerajaan telah memantau dengan teliti perkembangan terkini pasaran kewangan, termasuk pergerakan mata wang, dan jemaah menteri dan Majlis Ekonomi telah membincangkan secara terperinci mengenai perkara tersebut.

Katanya Gabenor BNM Tan Sri Zeti Akhtar Aziz juga telah memberikan taklimat khas kepada Majlis Ekonomi pada 17 Ogos dan Jemaah Menteri pada 19 Ogos manakala semalam, beliau mengadakan perbincangan dengan pakar ekonomi dan penganalisis dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan penilaian mengenai situasi ekonomi dan pasaran kewangan. – Bernama

Datuk Seri Najib pada sidang media mengenai ekonomi dan pasaran kewangan di Bangunan Perdana Putra. Turut hadir Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim (kiri). – Bernama
Datuk Seri Najib pada sidang media mengenai ekonomi dan pasaran kewangan di Bangunan Perdana Putra. Turut hadir Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim (kiri). – Bernama