Sokong henti merokok

Sokong henti merokok

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Berhenti merokok boleh menyelamatkan nyawa. Jika berhenti merokok hari ini, menjelang minggu depan, tekanan darah akan menjadi lebih baik.

Dalam tempoh beberapa bulan, perkembangan besar akan dapat dirasakan dalam fungsi peparu, setahun kemudian, risiko penyakit jantung dan serangan jantung kurang separuh.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi, dalam perutusannya sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2016 berkata, kementeriannya menyokong perokok untuk berhenti merokok.

“Jika anda perokok, berhenti merokok merupakan keputusan terbaik yang anda buat untuk diri anda.”

Menurutnya, Perkhidmatan Berhenti Merokok, Kementerian Kesihatan menyediakan pendidikan, nasihat, kaunseling dan dengan ini, peluang kejayaan perokok yang cuba untuk berhenti merokok akan meningkat.

“Jika anda atau orang yang anda kenali sedang memikirkan untuk berhenti merokok, bercakap kepada doktor anda hari ini atau hubungi Talian Darussalam 123 bagi maklumat lanjut,” ujarnya.

Yang Berhormat Dato menekankan, enggan merokok atau berhenti merokok merupakan langkah penting yang boleh diambil untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan diri, keluarga dan anak-anak serta orang di sekeliling.

Dengan pemikiran ini, Brunei Darussalam menyertai komuniti global, di bawah kepimpinan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memperingati 31 Mei 2016 sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia.

“Hari ini, walaupun kita hanya mempertimbangkan untuk berhenti merokok, Kementerian Kesihatan mahu menggalakkan anda untuk tidak merokok sekurang-kurangnya 24 jam,” ujarnya, sambil melahirkan harapan bahawa ini akan menjadi permulaan kepada perjalanan positif kepada kehidupan sepanjang hayat tanpa kesan buruk tembakau.

Menyentuh mengenai tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia tahun ini iaitu ‘Bersedia bagi Pembungkusan Biasa’, Yang Berhormat Dato menjelaskan, WHO menyeru negara-negara untuk bersedia bagi pembungkusan kosong produk-produk tembakau sebagai sebahagian daripada langkah-langkah pengurangan permintaan.

“Bersyukur, di Brunei Darussalam, di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Perintah Tembakau 2005 telah merangkumi sekatan-sekatan ke atas pengiklanan berkaitan dengan merokok, promosi, pengedaran, pembungkusan dan pelabelan produk-produk tembakau serta merokok di tempat-tempat tertentu.”

Bagaimanapun, produk-produk tembakau terus diimport dan diedarkan secara haram dalam pasaran gelap.

Ini, tekan Yang Berhormat Dato, memberi ancaman buruk yang serius kepada masyarakat, dan seluruh komuniti perlu mengambil tindakan bagi memastikan bahawa sebagai sebuah masyarakat, kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri dan anak-anak terus menjadi keutamaan.

Beliau seterusnya berkata, di Brunei Darussalam, punca kematian tertinggi adalah kanser dan penyakit jantung, dan merokok adalah faktor risiko biasa bagi kedua-dua penyebab kematian itu.

Pendedahan kepada asap rokok sekunder lebih berbahaya bagi kanak-kanak dan boleh menyebabkan penyakit pernafasan yang serius.

“Kaji selidik kebangsaan menunjukkan bahawa 97 peratus orang dewasa tahu bahawa merokok menyebabkan penyakit serius. Namun, 18 peratus penduduk dewasa terus merokok.

“Hari ini, kami menyeru pergerakan untuk mentafsirkan pengetahuan ini kepada perubahan sebenar kelakuan,” tambah beliau lagi.

Yang Berhormat Dato turut menyeru setiap individu untuk bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri.

“Kami memerlukan sokongan anda dan penglibatan aktif semua orang dalam komuniti – individu, keluarga dan pihak berkepentingan lain untuk bekerjasama meningkatkan kesedaran mengenai kesan kesihatan positif berhenti merokok dan paling penting untuk menyokong individu-individu berkenaan yang cuba berhenti merokok.

“Penduduk yang sihat adalah penting kepada pembangunan Brunei Darussalam dan ia adalah tanggungjawab kita semua untuk memastikannya,” tegas Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain lagi.

Dalam mengakhiri perutusannya, Yang Berhormat Dato berkata, setiap orang mempunyai peranan dan tanggungjawab mereka sendiri dalam memerangi tembakau, dan bekerjasama, kita boleh dan akan memenanginya di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA