Sokong langkah kerajaan minima impak ekonomi

Sokong langkah kerajaan minima impak ekonomi

KOTA KINABALU, 7 Feb – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyeru rakyat negeri ini agar sentiasa menyokong langkah diambil kerajaan negeri dan Pusat untuk meminimakan impak akibat ketidak seimbangan ekonomi pada masa ini.

Sambil mengalu-alukan kedatangan Tahun Monyet sempena Tahun Baru Cina kali ini, beliau berkata Malaysia kini mengharungi tahun yang mencabar dengan nilai ringgit semakin lemah berbanding dolar Amerika.

“Masalah ini juga turut melanda negara lain. Penurunan harga minyak memberi kesan kepada unjuran pendapatan dan ia secara langsung memberi kesan kepada projek lain. Oleh itu kita sangat memerlukan sokongan rakyat menghadapi masalah berkenaan,” katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina, di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun terdapat penurunan bajet pada tahun ini, kerajaan akan memastikan ia keputusan terbaik untuk rakyat.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap semua rakyat. Kita sedar akan peningkatan kos barangan dan perkhidmatan. Oleh itu kerajaan sedang melakukan apa juga yang boleh dilakukan untuk menangani perkara ini,” katanya.

Walaupun berdepan beberapa rintangan, Musa berkata kerajaan negeri tetap komited untuk memastikan pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Agenda Pembangunan Negeri berjalan lancar.

Katanya kerajaan negeri juga menyokong Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang kini berada pada landasan yang tepat.

Dalam pada itu, Musa berkata kerajaan negeri memberi jaminan akan sentiasa menyokong masyarakat Cina di negeri ini, khususnya dalam konteks pembangunan dan perkembangan sekolah Cina, tokong dan aktiviti kebudayaan.

Katanya kerajaan negeri akan terus mengagihkan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Cina dan tokong, selain terus menyokong pertubuhan-pertubuhan Cina yang berusaha memajukan aktiviti pendidikan serta kebajikan.

Sementara itu, Musa berkata sektor pelancongan masih menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negeri ini walaupun berdepan cabaran dari segi keselamatan, sebelum ini.

“Oleh itu, kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memastikan produk pelancongan dan standard perkhidmatan memenuhi keperluan pelancong yang mengunjungi negeri ini,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA