Sokong penganjuran kempen

Sokong penganjuran kempen

DI MANA-mana kita saksikan dan dengar mana-mana sekolah, jabatan dan persatuan mengadakan acara seperti Kempen Kebersihan, Kempen Membaca, Kempen Bersopan Santun, Kempen Kesedaran dan yang sewaktu dengannya.

Tujuannya adalah untuk melibatkan seramai mana warga sekolah, warga jabatan, warga persatuan dan warga masyarakat amnya menyertai kempen sambil mereka menggarap faedah mewujudkan dan memperkuat silaturahim. Tujuan yang mulia, diberkati lagi disanjung. Di sebalik itu, kita harus menyedari yang sebarang kempen diadakan untuk menghidupkan semula semangat yang telah menurun. Contohnya Kempen Kebersihan dilaksanakan untuk membersihkan kawasan yang kembali kotor atau semak.

Jarang sekali kita adakan kempen kebersihan jika kawasan itu sentiasa bersih, pulang tah lagi ada pihak luar yang menjamin dan memastikannya. Begitu juga Kempen Membaca yang diadakan kerana kesedaran penganjur bahawa sikap suka membaca sebarang bahan bacaan semakin berkurangan.

Apatah lagi jika Kempen Bersopan Santun yang kadangkala disediakan insentif fizikal berupa hadiah, sebenarnya adalah untuk menyaksikan perubahan dalam kalangan warga masyarakat yang acuh tak acuh dan kurang mengambil endah untuk bersikap sopan-santun terhadap warga masyarakat yang lain.

Namun begitu, tujuan mulia penganjur sebarang kempen haruslah disokong bukan sahaja oleh kerajaan malah juga oleh seluruh warga masyarakat. Kita penuh tulus mengharap bahawa warga masyarakat kita akan sentiasa memiliki kepekaan dan kesedaran untuk sentiasa menuju kesempurnaan dan kecemerlangan.

Dan dengan doa, harapan dan tawakal, ditambah lagi dengan Wawasan Negara yang sudah termaktub, kita pastikan masyarakat kita menjadi masyarakat yang gemilang lagi terbilang sepanjang zaman, Aamin. – Pemerhati Prihatin, Bunut

ARTIKEL YANG SAMA