Sokong penggunaan kereta elektrik

Sokong penggunaan kereta elektrik

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Multimedia Development Corporation (MDeC) dan Cohesive Mobility Solution (COMOS) hari ini memuktamadkan majlis penyerahan kenderaan elektrik (EV), menandakan komitmen MDeC ke arah masa depan yang lebih hijau selain menyokong teknologi akan datang untuk melengkapi masa depan Bandar pintar Cyberjaya dan seterusnya.

Di bawah kerjasama itu, COMOS telah memasang tujuh kilowatt Penyelesaian Infrastruktur Mengecas Syntronic (SyntroCIS) yang dibangunkan oleh Syntronic Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat berstatus MSC, di Ibu pejabat MDeC dengan sewaan Renault Zoe untuk tempoh empat tahun di bawah Program Perkongsian Kereta Elektrik COMOS.

Kakitangan MDeC digalakkan menggunakan kenderaan tersebut bagi tujuan kerja, mesyuarat dan majlis luar, seterusnya membantu mengurangkan pengeluaran karbon, dan melaksanakan peranan mereka untuk menyelamatkan bumi ini.

“Kenderaan cekap tenaga (EEV) adalah masa depan pengangkutan. MDeC berbangga menjadi Warga Korporat Hijau berikutan agenda hijau negara dan kami berharap program ini akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat selain menggalakkan penyelesaian tempatan untuk pertumbuhan industri EEV,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood, dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi COMOS Datuk Seri Syed Zainal berkata menjadi matlamat COMOS untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam pengangkutan.

Renault Zoe yang digunakan bagi tujuan menyokong teknologi akan datang. – Reuters
Renault Zoe yang digunakan bagi tujuan menyokong teknologi akan datang. – Reuters

“Dengan COMOS, organisasi boleh bergantung kepada platform kami untuk menjimatkan kos melalui pengurusan kenderaan yang lebih baik, penggunaan bahan api fosil yang sifar dan mengurangkan kesesakan melalui perkongsian kereta, dan pada masa sama melakukan sesuatu yang baik untuk alam sekitar,” katanya.

Pada masa ini, terdapat lebih 20 buah syarikat berstatus MSC terlibat dalam Teknologi Hijau dan lebih 80 peratus daripadanya milik rakyat Malaysia.

Institut Automotif Malaysia dan Cyberview turut menyewa EV daripada COMOS. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA