Sokong perkembangan pelajar

Sokong perkembangan pelajar

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 Mac – Sebagai usaha untuk memberikan galakan dan penghargaan kepada pelajar yang telah memperoleh keputusan cemerlang, Sekolah Menengah Tanjong Maya telah mengadakan Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan BGCE Peringkat ‘O’ IGCSE dan SPA 2015 di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Bahagian Perkembangan Sumber Tenaga Manusia di Kementerian Pendidikan, Hajah Aisah binti Haji Mohd Ali yang juga merangkap Ketua Akademi Guru Brunei Darussalam.

Turut hadir pada majlis yang memberikan penghargaan kepada guru-guru yang telah mengajar dan membantu pelajar-pelajar memperolehi keputusan itu ialah Pengetua Sekolah Menengah Tanjong Maya, Hajah Norzan binti Haji Meludin.

Hajah Aisah semasa menyampaikan ucapan menyatakan bahawa kejayaan para pelajar ini disifatkan sebagai anak tangga pertama untuk mendaki ke peringkat yang lebih tinggi.

Hajah Norzan menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat.
Hajah Norzan menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat.
Antara pelajar cemerlang yang menerima sijil penghargaan.
Antara pelajar cemerlang yang menerima sijil penghargaan.

Menurutnya lagi, kejayaan ini berpunca daripada pelbagai faktor dan antaranya ialah peranan ibu bapa, guru-guru dan pelajar itu sendiri dan pentadbiran sekolah. Beliau berucap bahawa didikan yang berkualiti daripada ibu bapa sangat diperlukan dalam menempuhi cabaran dunia globalisasi masa kini.

Sementara itu, beliau juga menasihatkan para pelajar supaya pelajar dapat menyemaikan sifat tanggungjawab yang tinggi, perlu proaktif dalam menuntut ilmu melalui pelbagai wahana seperti membaca buku, mencari maklumat dan sebagainya.

Hajah Aisah seterusnya menyeru guru-guru supaya akan dapat menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan ketika menyampaikan pelajaran dan guru-guru sentiasa mengubahsuai strategi mengikut jangkaan keberkesanan penggunaan sesuatu kaedah bagi melahirkan pelajar yang cemerlang.

Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan drama daripada kelab teater sekolah berkenaan dan diikuti dengan persembahan koir serta tayangan video klip penerima-penerima anugerah.

ARTIKEL YANG SAMA