Sokong perusahaan tempatan melalui pelbagai cara

Sokong perusahaan tempatan melalui pelbagai cara

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – DARe (Darussalam Enterprise), iaitu sebuah badan berkanun yang bertujuan memfokuskan dan menyokong perusahaan tempatan, semalam telah menganjurkan satu sesi kumpulan (dialog) tumpuan yang dihadiri hampir 100 syarikat kecil dan sederhana dari pelbagai industri kreatif.

Bengkel yang diadakan di Auditorium Tingkat 3, Bangunan Design & Technology, Anggerek Desa Technology Park itu menyediakan platform di mana pengusaha tempatan terutamanya boleh melibatkan diri dan memulakan perbincangan terbuka dengan menyentuh tentang pelbagai aspek ekosistem perniagaan dalam negara.

Semasa sesi kumpulan, para pengusaha tidak hanya berkongsi isu-isu yang dihadapi oleh perniagaan mereka, tetapi juga cara DARe boleh membantu.

Salah satu daripada isu-isu utama yang dibangkitkan ialah keperluan bagi proses perniagaan untuk menjadi lebih telus dan lebih baik disampaikan kepada perniagaan masyarakat.

Selain itu, para peserta berkongsi bahawa ketersediaan medium pembayaran elektronik yang mudah dan diterima secara meluas serta perkhidmatan perkapalan yang berdaya saing adalah penting bagi usahawan tempatan terutamanya untuk mengembangkan permulaan perniagaan mereka.

Sesi soal jawab di mana para peserta mengambil peluang untuk bertanya kepada pihak-pihak tertentu mengenai proses, bantuan dan cara mengembangkan perniagaan di negara ini.
Sesi soal jawab di mana para peserta mengambil peluang untuk bertanya kepada pihak-pihak tertentu mengenai proses, bantuan dan cara mengembangkan perniagaan di negara ini.
Pengusaha tempatan menghadiri sesi dialog bertujuan untuk memfokuskan dan menyokong perusahaan tempatan.
Pengusaha tempatan menghadiri sesi dialog bertujuan untuk memfokuskan dan menyokong perusahaan tempatan.

Semasa sesi dialog itu, beberapa taklimat mengenai memudahkan peniagaan disampaikan oleh Awang Zulfadli bin Abu Bakar dari Unit Ease of Doing Business (EODB) di bawah Jabatan Perdana Menteri, di mana beliau memberi langkah-langkah mudah mengenai bagaimana memulakan perniagaan di Brunei Darussalam.

Manakala itu, Dayang Diana binti Haji Ramli bagi mewakili DARe menyampaikan taklimat mengenai fungsi-fungsi dan tujuan yang dapat diberikan kepada pengusaha dan bagaimana dapat membantu mereka.

Awang Saimon Puasa dari Perbankan Dalam Talian dan Penyelesaian Kewangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) pula menjelaskan mengenai kemudahan pembayaran secara online dan perkhidmatan penghantaran.

Dalam sesi soal jawab, para peserta mengambil peluang untuk bertanya kepada wakil-wakil DARe, EODB, Authority for Building Control and Construction Industry (ABCi) di bawah Kementerian Pembangunan, Registrar of Company and Business Names (ROCBN) di bawah Kementerian Kewangan, Jabatan Bandaran dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang menjawab soalan-soalan dalam membantu para pengusaha menjalankan perniagaan mereka secara lancar.

Beberapa soalan yang berkaitan dengan industri online lebih memfokuskan konsep berdasarkan kemudahan dan kerjasama dengan pihak-pihak tertentu dalam menjalankan peniagaan bagi menghindarkan kekeliruan atau melanggar peraturan negara seperti penggunaan logo, paten, promosi yang biasanya melibatkan pelbagai Jabatan.

Selain itu, beberapa orang pakar dalam bidang masing-masing memberi pendapat yang perlu dilakukan bagi menarik pelanggan yang tepat untuk membeli produk mereka, seperti perlu ada pemasaran yang lebih baik seperti acara-acara dan ekspo untuk menarik pelanggan mereka.

Apa yang menarik perhatian adalah isu mengenai keperluan pengusaha untuk menggunakan perkhidmatan kewangan ‘Paypal’ yang ketika ini masih belum memasuki pasaran negara.

Apa yang dikenal pasti, pihak tertentu ketika ini sedaya upaya untuk membawa masuk perkhidmatan Paypal ke negara ini bagi kemudahan ramai, walau bagaimanapun ia tidak begitu mudah kerana pasaran negara yang kecil berbanding negara-negara lain, walau apa pun keputusan perbincangan terpulang kepada persetujuan daripada dua belah pihak.

Del Goh menyeru agar para pengusaha menyokong penggunaan sistem perkhidmatan kewangan tempatan lain seperti BIBD dan pengusaha-pengusaha tempatan yang sedang membangunkannya.

DARe sedang mengumpul semua perkara yang dibangkitkan dalam sesi ini dan akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk menangani isu-isu yang diserlahkan dengan cara yang tepat pada masanya.

Pengusaha-pengusaha yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai DARe boleh mengunjungi Meja Bantuan Perniagaan yang dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 4:30 dengan waktu rehat 12 tengahari hingga jam 2 petang di Tingkat 1, Bangunan Design & Technology, Simpang 32-37, Kampung Anggerek Desa.

Perusahaan-perusahaan yang berminat juga dialu-alukan untuk menghantar e-mel kepada dare@ei.gov.bn, atau hubungi talian hotline DARe.

ARTIKEL YANG SAMA