Sokong PKS tempatan

Sokong PKS tempatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Usaha Negara Brunei Darussalam untuk membangunkan dan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan terus mendapat sokongan padu daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam.

Dalam hubungan itu, Duta AS ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen mengumumkan bahawa tiga orang usahawan Brunei telah dijemput untuk mewakili Brunei ke Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) yang dihoskan oleh Presiden AS, Presiden Obama di Silicon Valley, AS pada 22 hingga 24 Jun nanti.

Penganjuran GES itu akan mengetengahkan semangat keusahawanan di AS dan juga untuk memberikan peluang kepada pelabur-pelabur AS melihat dengan lebih dekat lagi, bakat dan peluang-peluang yang terdapat secara global termasuk peluang di Negara Brunei Darussalam, tambah beliau lagi ketika berucap pada Perasmian Seminar Meningkatkan Daya Saing dalam Kalangan PKS dengan Teknologi yang berlangsung di Dewan Brillance, Concepts Technologies, Kiulap, hari ini.

TYT Craig Allen turut mengalu-alukan usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Brunei dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang menunjukkan komitmen negara kepada usahawan tempatan dan mempelbagaikan ekonomi negara daripada terus bergantung pada eksport hidrokarbon.

Antara inisiatif itu, ulasnya lagi, ialah usaha e-Government National Centre (EGNC) bersama Microsoft yang memajukan Brunei Solutions Development Centre (BSDC) pada 2013 yang merupakan sebuah pusat pembangunan perisian untuk melatih pemaju tempatan dalam industri ICT Brunei yang membangun serta juga pada 2016, di mana Jabatan Tenaga dan Perindustrian, di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelancaran badan berkanun Darussalam Enterprise (DARe) untuk menyokong pembangunan PKS tempatan.

TYT Craig Allen bergambar ramai dengan pihak pengurusan Kumpulan Concepts.
TYT Craig Allen bergambar ramai dengan pihak pengurusan Kumpulan Concepts.

Di majlis itu juga, TYT Craig Allen mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan oleh Microsoft untuk membantu memperkasakan bukan sahaja pembangunan PKS tempatan tetapi industri ICT melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan seperti penganjuran seminar itu bersama rakannya, Concepts Tecnologies.

Terdahulu daripada itu, Pengarah Urusan Microsoft Brunei, Dayang Haniza Zakariya dalam kata alu-aluannya menyatakan, kajian yang dikendalikan oleh Kumpulan Konsultan Boston menunjukkan bahawa perusahaan yang menggunakan teknologi secara efektif mempunyai prestasi lebih baik daripada perusahaan yang kurang menggunakan teknologi secara agresif.

Dalam hubungan itu, Microsoft dengan ekosistem rakan kongsinya yang unik, menyediakan pendekatan unik bagi perusahaan kecil dan sederhana untuk memanfaatkan teknologi moden dalam perusahaan mereka.

Di samping itu, Microsoft juga menyediakan pelbagai penyelesaian atau perisian inovatif untuk dimanfaatkan oleh perusahaan tempatan bagi mereka untuk menangani cabaran ekonomi tempatan serta menjadikan perusahaan mereka lebih berdaya tahan kepada cabaran-cabaran ekonomi.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Concepts, Vincent Pao menyatakan bahawa teknologi maklumat boleh membantu meningkatkan daya saing syarikat dengan memberikan kelebihan kepada perusahaan-perusahaan yang menggunakan teknologi canggih itu secara efektif.

Beliau berkata bahawa Kumpulan Concepts terus komited untuk berkembang dan berubah mengikut peredaran masa dan iklim ekonomi serta berharap seminar itu akan membantu PKS tempatan untuk sama-sama membentuk masa depan mereka melalui penggunaan teknologi.

Semasa seminar yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada perusahaan-perusahaan tempatan, penceramah dari Concepts Technologies iaitu Pengurus Concept Technologies, Ardoni Siregar dan Joneil Joseph menyampaikan penerangan mengenai pelbagai perisian dan perkembangan terkini dalam bidang teknologi maklumat yang boleh digunakan untuk meningkatkan lagi daya saing masing-masing.