Sokong produk-produk tempatan

Sokong produk-produk tempatan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Dalam usaha mengangkat martabat produk-produk tempatan khususnya produk di bawah Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P), Unit Memperkembangkan 1K1P, Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama majlis-majlis perundingan kampung (MPK) daerah ini, mengadakan Ekspo Produk-produk Tempatan bermula hari ini sehingga 29 Mei ini di Kompleks Membeli-belah Times Square.

Hadir merasmikan ekspo berkenan ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim yang turut melancarkan beberapa produk baru keluaran berasaskan makanan laut seperti udang kering, ikan tahai, dan sambal ikan tahai yang dikeluarkan Majlis Perundingan Kampung Kawasan 2 RPN Rimba.

Selain itu, turut dilancarkan ialah tumpi dan madu kelulut yang dihasilkan MPK Limau Manis, kotak pembungkus baru bagi produk makanan laut oleh MPK Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong serta kelupis bajalin, kuih dalamu, penyaram dan bubur Si Bujang yang diusahakan oleh MPK Sengkurong B.

Ekspo dihasratkan dapat memberikan peluang untuk mengetengahkan dan mempromosikan produk-produk dihasilkan kepada orang ramai, sekali gus membuka tempahan untuk orang ramai.

Awang Misle semasa pelancaran Ekspo Produk-produk Tempatan.
Awang Misle semasa pelancaran Ekspo Produk-produk Tempatan.
MPK Limau Manis dengan produk terbarunya Tumpi dan Madu Kelulut.
MPK Limau Manis dengan produk terbarunya Tumpi dan Madu Kelulut.

Beberapa orang pengeluar produk tempatan berpuas hati apabila ekspo itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan menghargai usaha Jabatan Daerah Brunei dan Muara kerana memberi peluang kepada mereka mempromosikan produk terbaru.

Salah seorang daripadanya ialah pengusaha produk makanan laut (snek Lumai), keropok udang dan tart nanas, Dayang Rokiah binti Haji Matzain yang turut memperkenalkan pembungkusan baru bagi produknya.

Menurutnya, produk mereka juga akan dipamerkan ke Jakarta dan China secara kecil-kecilan dan pendedahan di dalam dan luar negara ini diharap dapat mengembangkan lagi produk keluaran MPK Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong itu.

Pada ekspo itu, sebanyak 18 petak telah disediakan untuk memasarkan produk 1K1P yang juga menampilkan produk makanan, pembuatan dan kraf tangan, anyaman, ubat-ubatan herba tradisional serta produk baru yang terus mendapat perhatian dan permintaan orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA