Sokong projek bersama HSR

Sokong projek bersama HSR

SINGAPURA, 30 Nov – Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berharap untuk menandatangani perjanjian dua hala mengenai pembangunan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara republik itu dan Malaysia pada pemukiman pemimpin yang akan datang.

Kedua-dua negara telah membincangkan perjanjian itu selama lebih setahun, sejak beberapa pemukiman yang lepas.

“Kami telah mencapai kemajuan yang amat baik. Kami hampir berjaya, dan saya harap apabila saya bertemu Perdana Menteri Najib (Najib Tun Razak) pada pemukiman yang akan datang, kami akan dapat menandatangani perjanjian itu,” kata Lee dalam temu bual dengan Bernama pada Isnin.

Dari segi skala, Lee menyifatkan HSR sebagai projek yang “amat besar, amat sukar dan amat luas”.

“Kami perlu melakukan yang terbaik untuk menjangka isu-isu yang mungkin timbul, apabila kami membinanya, apabila kami mengendalikannya, dan mempunyai pemahaman yang jelas mengenai bagaimana kami akan menghadapinya jika timbul sesuatu perkara.

Lee Hsien Loong ketika sesi temu ramah eksklusif bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Datuk Seri Azman Ujang di Istana Singapura baru-baru ini. – Bernama
Lee Hsien Loong ketika sesi temu ramah eksklusif bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Datuk Seri Azman Ujang di Istana Singapura baru-baru ini. – Bernama

“Perkara pertama ialah mempunyai perjanjian yang baik antara kedua-dua negara mengenai asas bagaimana projek ini dirangka, bagaimana ia akan dilaksanakan, dan bagaimana ia disokong oleh dua kerajaan.

“Itu adalah keperluan pertama, iaitu kami mempunyai perjanjian yang amat baik yang menggariskan secara jelas asas yang kukuh untuk membina dan mengendalikan sistem tersebut,” katanya.

Lee yang sebelum ini berkata pelaksanaan yang baik adalah amat penting bagi HSR, ditanya mengenai kesukaran, antara lainnya, yang perlu dielak bagi pelaburan jangka panjang yang besar itu.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu amat penting – dalam mereka bentuk, menawarkan tender, dan menilai cadangan berikutan beberapa sistem HSR di dunia melobi untuk mendapatkan kontrak ini.

Antaranya ialah sistem HSR Jepun, Korea dan China.

“Setiap satunya mempunyai kekuatannya, dan kami akan mempunyai keputusan yang amat sukar untuk menilai pembida, dan menentukan yang mana terbaik secara keseluruhannya,” jelas beliau.

Ditanya mengenai perkongsian kos projek tersebut, Lee berkata: “Semua perlu dinyatakan dengan jelas.

“Itu merupakan antara perkara yang menjadikan projek ini sukar disebabkan dua kerajaan terlibat. Ia seperti projek dari London ke Paris, Channel Tunnel.

“Apabila dua pihak berkuasa terlibat, kita perlu memutuskan bagaimana untuk membahagikannya, di mana penentuannya. Saya bina bahagian saya, anda bina bahagian anda, dan kita perlu bertemu pada titik yang sama. Jika ia tidak berlaku, kita akan mempunyai masalah yang besar,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Singapura itu amat yakin seperti katanya: “Ia adalah sukar tetapi terdapat keazaman. Dan terdapat keazaman yang baik, dan kami mungkin menjadikannya berjaya.”

Di Tokyo baru-baru ini, Najib berkata Malaysia dan Singapura dijangka menandatangani perjanjian mengenai projek HSR pada awal bulan depan.

Najib berkata tender antarabangsa untuk menyediakan tren HSR akan ditawarkan pada suku keempat tahun depan.

Beliau berkata kebanyakan isu berkaitan projek itu hampir diselesaikan. – Bernama