Sokong Sambutan Hari Strok Sedunia

Sokong Sambutan Hari Strok Sedunia

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Bersempena dengan Sambutan Hari Strok Sedunia 2015, Jabatan Pemulihan, Pusat Neurosains Strok dan Rehabilitasi Brunei (BNSRC) dengan kerjasama Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), buat julung-julung kalinya akan mengadakan pementasan drama muzikal bertajuk ‘Sebuah Perjalanan’ pada 1 November di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Pementasan drama berkenaan, yang merupakan acara kemuncak Aktiviti Terapeutik Berkumpulan, akan menampilkan 53 orang pesakit strok dan kanser.

Ketua Pemasaran JPMC, Awangku Danny bin Pengiran Tajuddin, semasa sidang media mengenai acara berkenaan, di Fitness Zone, Kiulap, menjelaskan pemenantasan berkenaan akan dibukakan kepada orang ramai dan tiket-tiket boleh didapati pada harga $10 bagi tempat duduk belakang, $15 bagi tempat duduk depan dan $25 untuk menyaksikannya dari balkoni.

Selain daripada itu, orang ramai yang membeli tiket berkenaan juga akan menerima baju yang ditandatangani oleh Wu Chun selaku duta acara tersebut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pemulihan di JPMC, Vivian Tie Suk Kee, pula menjelaskan bahawa para pesakit yang menyertai drama ini telah mula berlatih sejak 21 September yang lalu bagi memastikan acara tersebut berjalan dengan lancar.

Awangku Danny, Wu Chun, Vivian Tie dan Hajah Nurul Akmar bergambar ramai selepas sesi sidang media.
Awangku Danny, Wu Chun, Vivian Tie dan Hajah Nurul Akmar bergambar ramai selepas sesi sidang media.
Awangku Danny ketika berucap pada sidang media tersebut.
Awangku Danny ketika berucap pada sidang media tersebut.

Menurut beliau, dengan adanya pesembahan drama ini, ia akan dapat membantu para pesakit untuk memberikan tumpuan kepada tugas-tugas yang diberikan dengan tujuan yang baik melalui strategi pemulihan.

“Kami berharap untuk menggalakkan dan memberi motivasi kepada pesakit-pesakit strok untuk terus bekerja keras ke arah proses pemulihan mereka agar dapat mencapai kehidupan yang lebih baik.”

Beliau menjelaskan lagi, persembahan drama ini ditulis oleh salah seorang pesakit strok yang berdasarkan kisah benar dengan kerjasama kakitangan di Jabatan Pemulihan.

Pementasan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit strok, cara-cara pemulihan dan unsur-unsur penting untuk proses pemulihan yang berjaya.

Manakala itu, Wu Chun yang turut hadir semasa sidang media itu, menekankan bahawa adalah sangat penting bagi orang ramai untuk memahami dan mempelajari lebih mendalam mengenai penyakit strok dan kanser di samping memberikan bantuan kepada mereka yang sangat memerlukannya.

Acara berkenaan juga akan menampilkan Uniq Band dari Pusat Bahagia, iaitu sebuah kumpulan yang mempunyai masalah kurang penglihatan dan juga persembahan daripada ‘Expression Music Academy’.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk menyaksikan pementasan berkenaan bolehlah menempah tiket dengan menghubungi talian 2611433 sambungan 2053 / 2063, dan tiket-tiket adalah terhad kepada 500 tempat duduk.

Hasil daripada kutipan acara ini akan didermakan kepada program amal ALAF Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Drama pentas bercorak muzikal ini ditaja oleh Royal Brunei Catering (RBC), RICO, MC QUIPP, Syarikat Kingston, Aewon Brunei, Arkitek Idris, Lailatul Shazana’s Studio, Sehat, Laksamana College of Business dan Image Inx.

Ia turut disokong oleh Pusat Bahagia, Kristal FM selaku radio rasmi, Brunei Press Sdn Bhd selaku rakan media dan Ranoadidas selaku rakan media sosial.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Timbalan Ketua Perbankan Pelanggan BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Jaafar.

ARTIKEL YANG SAMA