Sokong saranan Pemangku Pesuruhjaya Buruh

Sokong saranan Pemangku Pesuruhjaya Buruh

KENYATAAN Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Negara Brunei Darussalam, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof semasa Jerayawara Undang-undang Buruh, baru-baru ini yang menekankan mengenai kontrak perkhidmatan bagi pekerja-pekerja tempatan dengan pihak swasta, sangat dialu-alukan.

Saya dan rakan-rakan amat menyokong seruan dan saranan beliau yang mahukan para majikan di negara ini menyediakan kontrak perkhidmatan khususnya bagi pekerja tempatan di negara ini.

Ini memandangkan setiap pemeriksaan yang dibuat oleh Jabatan Buruh sering mendapati perusahaan dan perniagaan atau syarikat gagal menyediakan kontrak perkhidmatan khusus bagi pekerja tempatan.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh ini kerana saya tahu bahawa ada pekerja tempatan yang tidak diberikan kontrak perkhidmatan kerana mereka tidak dibayar gaji dan hanya diberikan imbuhan berbentuk komisyen sahaja.

Mungkin juga majikan mereka mahu mengelakkan diri daripada membayar caruman TAP kepada pekerja.

Dalam pada itu, di samping menekan mengenai kontrak perkhidmatan, Pemangku Pesuruhjaya Buruh haruslah mengambil serius terhadap kadar pengangguran pada masa ini, yang mencapai angka 13,000 orang termasuk lepasan universiti dalam dan luar negeri.

Jabatan Buruh perlu memikirkan cara yang terbaik macam mana mereka yang berdaftar sebagai orang mencari pekerjaan ini boleh mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan dan kelulusan.

Awang Marol, BSB

ARTIKEL YANG SAMA