Sokong segerakan damai FARC

Sokong segerakan damai FARC

BOGOTA, 5 Jun (AFP) – Presiden Colombia Juan Manuel Santos berkata semalam beliau mengalu-alukan tekanan antarabangsa untuk mempercepat rundingan perdamaian dengan gerila FARC, yang telah meningkat dalam beberapa minggu ini tatkala pertempuran menjadi semakin sengit.

Masyarakat antarabangsa telah menyuarakan kebimbangan mengenai keputusan Santos pada April untuk meneruskan serangan udara ke atas Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC), satu tindakan yang mendorong pemberontak membatalkan gencatan senjata satu pihak yang telah diisytiharkan oleh mereka pada Disember.

Namun dalam temu bual pertamanya dengan agensi berita antarabangsa sejak berakhirnya gencatan senjata pada 22 Mei, Santos memberitahu AFP bahawa peristiwa terbaru hanya akan mempercepat proses perdamaian – termasuk, kata beliau, tekanan diplomatik dari Eropah, yang akan dilawatnya pada minggu depan.

“Saya fikir orang di luar mungkin memahami lebih baik realiti kehidupan di negara kami,” kata beliau sebelum berlepas ke Brussels untuk menghadiri sidang kemuncak Kesatuan Eropah dan Komuniti Latin Amerika dan Negara Caribbean.

Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Norway, yang sedang melancarkan rundingan perdamaian, semuanya telah menggesa supaya gencatan senjata dua hala diadakan di Colombia – sesuatu yang ditolak oleh Santos, berkata ia hanya akan menangguhkan perjanjian perdamaian terakhir.