Sokong tabung darah negara

Sokong tabung darah negara

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 6 Nov – Majlis Perundingan Mukim (MPM) Seria dengan kerjasama Jawatankuasa Sukarelawan RPN Kampung Panaga Seria dan Pasukan Bola Sepak Panaga, buat julung-julung kalinya telah menganjurkan Kempen Derma Darah yang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah, di sini, hari ini.

Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap, ketika ditemui Media Permata hari ini menyatakan, kempen tersebut dibukakan untuk penyertaan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seria dan Lorong Tiga Selatan Seria, serta orang ramai.

Menurut beliau lagi, ia diadakan bagi membantu menambah tabung darah bagi Daerah Belait, dengan sasaran sejumlah 20 pain darah melalui kempen yang diadakan kira-kira empat jam bermula pukul 7:30 pagi hingga 11:00 pagi.

“Kempen ini juga adalah untuk menyuntik semangat kesedaran kepada kalangan ahli-ahli jawatankuasa MPM, MPK dan juga penganjur bersama amnya dan kepada orang ramai khasnya, betapa pentingnya kita sama-sama menyokong dalam membantu menambahkan tabung darah di negara kita ini bagi keperluan para pesakit yang memerlukannya,” katanya.

Kempen Derma Darah Majlis Perundingan Mukim Seria yang diadakan di Dewan Pejabat Daerah Belait.
Kempen Derma Darah Majlis Perundingan Mukim Seria yang diadakan di Dewan Pejabat Daerah Belait.

Beliau menambah, melalui kempen itu juga, sekali gus menanamkan sikap keprihatinan, dan juga sikap suka membantu antara satu sama lain, dalam melakukan kegiatan berkebajikan, selain boleh memberikan kesihatan kepada individu yang menderma.

Kempen berkenaan telah dikendalikan oleh Unit Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait, melibatkan seramai sembilan orang pegawai yang diketuai oleh Ketua Unit Perkhidmatan Makmal, Dayang Salmah binti Zaini, dan turut disertai oleh jururawat hospital berkenaan untuk memeriksa kesihatan para penderma terlebih dahulu.

Menurut Dayang Salmah, setakat pukul 9 pagi lebih sembilan pain darah telah berjaya dikumpulkan dan berkata, ada juga individu yang berhasrat untuk menderma tetapi terpaksa ditolak kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.

ARTIKEL YANG SAMA