Sokongan keluarga diperlukan

Sokongan keluarga diperlukan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Sokongan dari keluarga dan masyarakat kepada bekas-bekas penghuni penjara adalah amat penting supaya mereka tidak mengulangi kesilapan masa lalu serta melakukan kesalahan yang menyebabkan kembali ke penjara.

Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh berkata, menurut maklumat yang ada, dalam masa tiga tahun kebelakangan ini, kadar pengulangan semula (recidivism rate) di Negara Brunei Darussalam adalah sebanyak 36 peratus dan statistik itu merupakan sesuatu yang membimbangkan.

Beliau menyatakan perkara ini semasa berucap di Majlis Seminar Pemulihan dan Seliaan, Melayu Islam Beraja: Asas Integrasi, Sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara ke-61 yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati, satu kajian tempatan yang dikeluarkan pada 2010, menyatakan bekas penghuni didapati mengulangi kesalahan mereka kerana mengalami masalah kewangan, kurang sokongan dan bantuan dari segi pekerjaan dan keluarga.

Maka itu, sokongan keluarga dan masyarakat semua adalah penting bagi mereka ini dan merupakan sumber kekuatan kepada bekas-bekas penghuni ini.”

Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati menyatakan sokongan keluarga dan masyarakat amat penting bagi bekas-bekas penghuni penjara supaya mereka tidak kembali melakukan kesilapan lalu.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati menyatakan sokongan keluarga dan masyarakat amat penting bagi bekas-bekas penghuni penjara supaya mereka tidak kembali melakukan kesilapan lalu.

Beliau berkata, kefahaman dan kesedaran serta keikhlasan semua pihak yang berkenaan dalam sama-sama berganding bahu menanai tugas dan tanggungjawab yang berat itu kerana ia merupakan suatu yang perlu dan sangat penting.

“Di sinilah peranan konsep Melayu Islam Beraja perlu diserapkan agar masyarakat berganding bahu dan bersatu padu dalam pemedulian bekas-bekas penghuni ini.”

Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati juga mencadangkan agar Jabatan Penjara menimbangkan kaedah yang bersesuaian dalam menangani penghuni wanita, terutama yang mempunyai anak damit yang masih memerlukan penyusuan ibu.

“Saya difahamkan ada negara tertentu yang mempunyai amalan baik bagi penghuni sedemikian yang telah berjaya memberikan semangat kepada penghuni itu untuk berubah dan tidak mengulangi lagi kesalahan mereka, dan kesejahteraan anak damit yang tidak berdosa tersebut terus terjaga.”

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan undang-undang seperti Peraturan Penjara yang akan memberikan peluang-peluang kepada bekas penghuni untuk menghadapi cabaran hidup selepas keluar nanti.

“Peraturan Penjara memperuntukkan bagi beberapa prinsip utama di dalam menangani penghuni penjara seperti keadilan dan ketegasan dalam menangani tatatertib dan ketenteraman bagi penghuni penjara, menggalakkan bagi harga diri dan rasa tanggungjawab untuk membangun moral dan menanamkan sikap sebagai rakyat dan bekerja keras bagi menggalakkan mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan berguna setelah dilepaskan nanti.”

Di samping itu, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati memuji dan menghargai usaha Jabatan Penjara yang merancang untuk memberikan satu kurikulum yang baru kepada bekas penghuni semasa proses pemulihan mereka bagi memberikan mereka kepakaran selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan pada masa ini.

Beliau juga menyatakan pandangan supaya program yang disediakan oleh Jabatan Penjara dalam khidmat seliaan mungkin boleh dipanjangkan tempohnya dan diperkuatkan lagi dengan program yang lebih teratur terutama bagi mereka yang mempunyai risiko besar akan kembali melakukan jenayah seperti kaunseling terutama sebaik saja penghuni lepas dari penjara di mana mereka ini paling terdedah pada cabaran hidup dan pengaruh yang boleh mendorong mereka kembali kepada jenayah.

Beliau juga berkata bahawa keluarga bekas penghuni juga turut menghadapi cabaran.

“Bagaimanapun dengan komitmen keluarga dan dorongan rakan-rakan serta masyarakat, saya yakin bekas penghuni akan berjaya kembali ke pangkuan masyarakat dan memberikan sumbangan kepada negara dan sama-sama menjaga keamanan dan kemakmuran negara.”

Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati menambah Pejabat Peguam Negara sendiri juga mengambil langkah proaktif dengan mengamalkan dasar, pendakwaan sebagai langkah terakhir bagi kes-kes kurang serius yang mana pelaku-pelaku jenayah berkenaan masih saja boleh diambil tindakan selain pendakwaan.

“Pejabat Peguam Negara sentiasa bersedia membantu Jabatan Penjara dan pihak-pihak yang berkepentingan bagi mencapai objektif yang diharapkan, termasuk dari segi mengemas kini dan menggubal undang-undang yang diperlukan.”

ARTIKEL YANG SAMA