Sokongan memuncak kepada Adenan

Sokongan memuncak kepada Adenan

KUCHING, 20 Sept (Bernama) – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem kini berada di puncak. Pujian melambung diberikan pelbagai pihak yang memperakui hebatnya kepimpinan beliau baik daripada kalangan penyokong kerajaan mahupun pembangkang.

Dari segi strategi, memang inilah masa paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya negeri Sarawak ke-11. Adenan sendiri baru-baru ini dilaporkan mengakui ia akan diadakan pada bila-bila masa selepas bajet negeri 2016 dibentangkan November ini.

Beliau dilaporkan menjangka proses persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri membabitkan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri yang baharu akan diluluskan Parlimen yang dijadual bersidang Oktober ini.

Ini bermakna Oktober boleh dikeluarkan daripada ramalan kemungkinan pilihan raya diadakan, manakala tarikh tepat pembentangan bajet negeri dalam bulan November masih belum ditetapkan.

Dan Ketua Menteri pasti ingin mengambil masa sendiri untuk melihat apa yang disediakan kerajaan persekutuan kepada Sarawak menerusi bajet 2016 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Okt depan.

Kebanyakan ahli politik dan penganalisis tidak fikir pilihan raya akan diadakan tahun ini, termasuk pemimpin pembangkang.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian merasakan November terlalu singkat bagi Ketua Menteri untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya kerana beliau masih sibuk dengan bajet Sarawak yang akan ‘dirumuskan’ hanya selepas beliau ‘mengkaji’ bajet negara.

Menurutnya banyak tuntutan yang dibuat kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan sedang dinantikan respons, dan tuntutan ini akan membolehkan Adenan memperoleh sokongan hebat, seluruh rakyat juga menunggu hasil bakal diperoleh negeri daripada pembentangan bajet persekutuan.

Dari segi wang mungkin ia bukan keutamaan, namun dari segi moral, mungkin rakyat Sarawak ingin melihat hasil tuntutan Adenan terhadap isu-isu seperti royalti minyak supaya dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus, di samping tuntutan pemerkasaan lebih besar dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, infrastruktur dan pelancongan, katanya.

Baru Bian berkata sokongan padu rakyat kepada Adenan lebih bersifat peribadi sambil berkata perpecahan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak masih tidak nampak jalan penyelesaian, dan ia pastinya memerlukan masa.

Beliau merujuk kepada perpecahan dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang menyaksikan kewujudan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang “mesra Barisan Nasional”.

Dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memiliki 35 kerusi, SUPP enam, Parti Rakyat Sarawak (PRS) lapan, SPDP enam, DAP 12, PKR tiga, dan Bebas satu.

Isu sokongan kaum Cina cukup kritikal di Sarawak memandangkan pilihan raya lalu menyaksikan SUPP sebagai ‘the biggest loser’ apabila ia hanya berjaya mempertahankan separuh daripada 12 kerusinya manakala DAP nenambah kerusinya dari enam ke 12.

Seorang ahli politik penyokong kerajaan yang tidak mahu dinamakan pula berkata beliau tidak menolak kesungguhan Adenan memikat hati kaum Cina, dan beliau memberi contoh pemberian bantuan kepada sekolah persendirian Cina yang diumumkan Adenan sebanyak RM3 juta tahun lepas, RM4 juta tahun ini, dan janji RM5 juta bagi tahun depan.

Bagaimanapun menurutnya perpecahan dalam komponen parti yang biasanya berkisar kepada perebutan kerusi tidak dapat diselesaikan dengan memberikan bantuan kepada pengundi kawasan sahaja – kerana ada ‘perjanjian’ yang perlu dipersetujui di peringkat parti.