Sokongan rakyat mudahkan kemajuan

Sokongan rakyat mudahkan kemajuan

KUCHING, 5 Julai – Yang Di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud berkata sokongan rakyat yang padu kepada kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem serta pentadbiran negeri memudahkan Sarawak menuju taraf yang lebih maju.

Beliau berkata sokongan itu juga dapat membantu merealisasikan visi 2020 dalam mencapai status negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi.

Selain itu, katanya, usaha hendaklah dipertingkatkan untuk membantu rakyat dalam golongan berpendapatan rendah supaya dapat mengikut jejak langkah mara ke hadapan dengan kemajuan negara yang semakin sehari makin lebih maju.

“Kita mesti mengelak keadaan di mana ada segolongan rakyat yang kekal ketinggalan daripada arus pembangunan,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2016 hari ini.

Abdul Taib turut percaya kemakmuran yang dikecapi Sarawak ketika ini akan terus melonjak pada masa akan datang.

“Dengan kejayaan yang telah kita capai sekarang saya berkeyakinan bahawa negeri Sarawak dapat mencapai visi 2020 lebih awal lagi kerana Sarawak sudah melaksanakan program perindustrian yang dapat memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat kita.

“Apa yang saya dapat nampak dalam masa 15 tahun lagi iaitu sampai tahun 2030, peluang bagi Sarawak untuk terus maju dan memberi peluang pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi dan lumayan akan berlaku dan insya-Allah kita akan terus menjalankan usaha pembangunan yang telah bermula dengan pembangunan kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) di kawasan tengah Sarawak,” katanya.

Mengenai sambutan Hari Raya khususnya di Sarawak, Abdul Taib berkata ia warisan yang begitu lama meraikan perayaan bersama-sama dengan kaum-kaum lain dengan keazaman untuk memperbaharui hubungan sosial dengan sahabat-sahabat ataupun saudara mara dan memperluaskan hubungan dengan anggota keluarga.

“Kita harus berbangga kerana keharmonian dan kedamaian yang dinikmati hari ini adalah hasil sikap toleransi dan semangat saling percaya mempercayai di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum, budaya dan agama.

“Keunikan ini adalah kekuatan negeri sarawak yang menjadi tunjang kepada perpaduan dan kestabilan politik di negeri ini dan perlu dipelihara untuk generasi seterusnya,” katanya. – Bernama