Sol Campbell tanding jawatan datuk Bandar

Sol Campbell tanding jawatan datuk Bandar

LONDON, 9 Jun (AFP) – Bekas pemain antarabangsa England, Sol Campbell mengesahkan hasratnya untuk bertanding jawatan Datuk Bandar London.

Dia yang pernah mengemudi pertahanan Arsenal dan Tottenham Hotspur berkata boleh ‘membawa sesuatu yang baharu’ sebagai calon parti Konservatif dan mahu ‘mengubah London untuk semua orang’. Begitupun, Campbell yang kini berusia 40 tahun mengakui dia bukanlah calon pilihan.

“Saya akan pergi dengan mata terbuka luas. Saya tahu, saya bukanlah pilihan. Namun saya lihat kepada orang yang sudah berada dalam politik untuk tempoh lima, 10, 15 tahun, mencampurkannya dan berfikir, ‘kamu semua sepatutnya menjadi profesional!,” katanya.

Datuk Bandar London ketika ini, Boris Johnson bercadang melepaskan jawatannya pada tahun 2016.

Ditanya sama ada dia boleh mengharapkan undian daripada peminat Spurs yang masih kecewa dengan perpindahannya ke Arsenal pada 2001, Campbell berkata: “Jika kita sentiasa bercakap mengenai bola sepak, kita tidak akan dapat melakukan apa-apa.

“Kita berurusan dengan kehidupan orang ramai di sini. Saya mahu mengubah London untuk semua orang.”

Kumpulan yang menguruskan kempen ahli parti Konservatif, Conservative Way Forward mengesahkan Campbell sudah bersetuju berada dalam debat Datuk Bandar, pada 7 Julai ini.

Selain Campbell yang pernah beraksi bersama Portsmouth dan Newcastle, calon lain yang bakal bertanding adalah ahli perniagaan, Ivan Massow; penyandang Timbalan Datuk Bandar ketika ini, Stephen Greenhalgh dan Ahli Perhimpunan London, Andrew Boff, selain Ahli Parlimen, Zac Goldsmith yang turut disebut-sebut berminat.

ARTIKEL YANG SAMA