Solar Impulse 2 mendarat di Oklahoma

Solar Impulse 2 mendarat di Oklahoma

GOODYEAR, Ariz, 13 Mei (AP) – Kapal terbang berkuasa suria telah mendarat di Oklahoma selepas berlepas dari Arizona pada pusingan terbaru penerbangannya mengelilingi dunia.

Solar Impulse 2 buatan Swiss itu berlepas dari Lapangan Terbang Phoenix Goodyear kira-kira 3 pagi semalam. Ia mendarat tanpa sebarang insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Tulsa sekitar pukul 11:15 malam, lapor Tulsa World.

Ia berlepas dari utara California pada awal-awal waktu 2 Mei dan mendarat di lapangan terbang barat daya Phoenix 16 jam kemudian. Bulan lalu ia terbang dari Hawaii menuju California..

Penerbangan mengelilingi dunia itu bermula Mac 2015 dari Abu Dhabi, bandar Emiriah Arab Bersatu dan telah membuat perhentian di Oman, Myanmar, China dan Jepun.

Selepas Oklahoma, kapal terbang ini dijangka membuat satu lagi perhentian di AS sebelum menyeberangi Lautan Atlantik menuju Eropah atau utara Afrika, menurut laman sesawang yang mendokumenkan penerbangan itu.Surat khabar telah melaporkan bahawa kru mungkin akan terpaksa tinggal di Tulsa beberapa hari untuk menantikan keadaan cuaca.

Solar Impulse 2 ketika mendarat di Lapangan Terbang Oklahoma, AS. – AP
Solar Impulse 2 ketika mendarat di Lapangan Terbang Oklahoma, AS. – AP

Sayap Solar Impulse 2 ini yang mempunyai kelebaran melebihi sayap Boeing 747 dilengkapi dengan 17,000 sel suria yang memberi kuasa kepada kipas dan mencaj bateri. Kapal terbang ini menggunakan tenaga yang disimpan pada waktu malam.

Kelajuan penerbangan ideal ialah 28 msj, meskipun ia boleh dua kali ganda ketika di siang hari kerana sinar matahari adalah yang paling kuat.

Kapal terbang ini telah membuat penerbangan lima hari dari Jepun menuju Hawaii dan penerbangan tiga hari dari Hawaii menuju Silicon Valley, California.

Kru-krunya terpaksa tinggal di Oahu, Hawaii selama sembilan bulan selepas sistem bateri kapal terbang itu rosak ketika dalam penerbangan dari Jepun.

Pegawai-pegawai projek berkata persinggahan itu telah memberi peluang kepada dua juruterbang Swiss, Bertrand Piccarda dan Andre Borschberg untuk bertukar tempat dan terlibat dengan masyarakat tempatan dalam pada itu supaya mereka boleh menerangkan tentang projek itu, yang dianggarkan menelan kos lebih $100 juta.