Solar Impulse 2 tinggalkan Mesir

Solar Impulse 2 tinggalkan Mesir

KAHERAH, 24 Julai – Kapal terbang pertama berkuasa suria yang mengelilingi dunia telah berlepas dari Kaherah hari ini menuju Abu Dhabi, dalam pusingan terakhir penerbangannya.

Juruterbang dari Switzerland, Bertrand Piccard mengemudi Solar Impulse 2, yang boleh terbang berhari-hari dengan hanya menggunakan tenaga dari suria.

“Ia adalah projek bagi tenaga, untuk dunia yang lebih baik,” Piccard, 58 memberitahu para wartawan sebelum berlepas.

Kru lapangan, yang menyeret pesawat itu keluar dari landasan terbang dengan menggunakan tali, bersorak gembira ketika pesawat itu berlepas ke udara dan hilang dari pandangan malam.

Ia dijadualkan berlepas minggu lalu, tetapi penerbangan ditangguhkan kerana angin dan kesihatan Piccard tidak mengizinkan.

Piccard yang juga usahawan Swizerland dan juruterbang Andre Borschberg bergilir-gilir menerbangkan pesawat ini pada penerbangannya sejauh 35,000 kilometer mengelilingi dunia.

Borschberg telah mengemudi penerbangan sejauh 8,924 kilometer di peringkat Pasifik antara Nagoya, di Jepun dan Hawaii.

Solar Impulse 2 tiba di Kaherah selepas penerbangan dua hari dari Sepanyol, yang menamatkan penerbangan sejauh 3,745 kilometer dengan purata kelajuan 76.7 kilometer sejam.

Sebelumnya ia telah mendarat di Seville selepas menamatkan penerbangan rentas Atlantik solo pertama dengan hanya berkuasa suria. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA