Solar terapung sumber tenaga baru

Solar terapung sumber tenaga baru

SEREMBAN, 5 Ogos (Bernama) – Projek percubaan pemasangan panel solar terapung di Empangan Sungai Terip di sini, yang dijangka menghasilkan tenaga solar sebanyak tujuh hingga 10 megawatt (MW) kini berada di peringkat akhir pelaksanaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri kini sedang memohon kuota tambahan daripada Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) memandangkan kuota tenaga yang diperuntukkan telah digunakan sepenuhnya.

“Kita di peringkat akhir untuk melihat cara mana kerajaan negeri dan syarikat tersebut untuk mengadakan satu kerjasama dan kita akan adakan percubaan di mana lebih kurang 1/5 daripada permukaan Empangan Sungai Terip akan kita adakan solar panel terapung pertama dalam negara kita.

“Berkenaan kuota tenaga pula, ia terpulang pada SEDA Malaysia nak beri berapa dan kita sedang minta kuota dari negeri lain yang tidak digunakan,” katanya kepada pemberita pada majlis Jamuan Hari Raya anjuran Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, di sini, hari ini.

Setakat ini, Negeri Sembilan mempunyai empat tapak loji tenaga boleh baru yang beroperasi di Pajam, Nilai; Kuala Sawah, Seremban; Bukit Palong, Port Dickson; dan Gemas yang boleh menjana kuasa elektrik sebanyak 32MW.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad.
Contoh penggunaan panel solar terapung untuk menjana tenaga elektrik oleh syarikat Langkasuka Aquaculture di perairan Pulau Langkawi, bagi memastikan keselesaan para pengunjung.
Contoh penggunaan panel solar terapung untuk menjana tenaga elektrik oleh syarikat Langkasuka Aquaculture di perairan Pulau Langkawi, bagi memastikan keselesaan para pengunjung.

Kesemua loji tenaga boleh baharu tersebut berkeupayaan menyalurkan kuasa elektrik kepada lebih 20,000 buah rumah di negeri ini.

“Banyak lagi tempat yang sedang kita lihat yang boleh dijadikan tempat yang berdaya maju untuk mengeluarkan tenaga solar,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kerajaan negeri masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung pelaksanaan penalti di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

“Bukan kita tidak mahu jayakan dasar ini, tetapi apa yang kita beri ulasan ialah berkenaan pelaksanaan penalti sehingga RM1,000 kepada isi rumah yang tidak mengasingkan sampah mereka akan membebankan rakyat negeri ini, dan itu yang cuba kita elakkan,” katanya.

Beliau berharap pihak konsesi yang telah dilantik SWM Environment Sdn Bhd (SWM) dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan kempen kesedaran pengasingan sisa pepejal kepada penduduk negeri ini sebelum melaksanakan penalti tersebut.

Pengasingan sisa pepejal yang dilaksanakan bermula 1 September ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.