Solat hajat, ceramah bagi pelajar program ALAF BIBD

Solat hajat, ceramah bagi pelajar program ALAF BIBD

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Seramai 22 orang pelajar di bawah program ALAF BIBD yang bakal menduduki peperiksaan PSR menghadiri majlis solat hajat dan ceramah motivasi yang berlangsung di Masjid Ash Shaliheen di Kompleks Jabatan Perdana Menteri.

BIBD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menyatakan majlis itu dihadiri oleh para pelajar ALAF, ibu bapa, penjaga dan guru-guru mereka. Majlis turut dihadiri oleh kakitangan BIBD, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan solat Dhuha yang diikuti dengan solat hajat dan bacaan doa oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Haji Mohammad Aslenan bin Haji Metusin. Menurut kenyataan itu lagi, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar menyampaikan kata alu-aluan di majlis berkenaan yang diikuti dengan ceramah motivasi yang disampaikan penceramah dari Jabatan Pengajian Islam, Haji Aziman bin Haji Zaman bagi membakar semangat para pelajar untuk mencapai keputusan yang terbaik dalam peperiksaan itu nanti.

Menurut Hajah Nurul Akmar, majlis itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan BIBD, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk bukan sahaja bagi memastikan kejayaan program berkenaan tetapi juga kejayaan masa depan para pelajar di bawah program berkenaan.

Antara pelajar program ALAF BIBD yang menghadiri solat Hajat itu.
Antara pelajar program ALAF BIBD yang menghadiri solat Hajat itu.

Beliau menyatakan harapan dengan memperkasakan pendidikan pelajar-pelajar berkenaan serta sokongan daripada orang ramai, akan membantu memastikan mereka mempunyai masa depan yang cerah supaya mereka mampu untuk menyara keluarga dan mempunyai kehidupan yang lebih baik.

Dalam hubungan itu, Hajah Nurul Akmar bagi mewakili ahli-ahli Jawatankuasa ALAF, pengurusan dan kakitangan BIBD, mengucapkan semoga berjaya kepada semua pelajar termasuk pelajar-pelajar program ALAF dalam menduduki peperiksaan mereka nanti.

ARTIKEL YANG SAMA