Solat Kunci Syurga

Solat Kunci Syurga

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Kementerian Pendidikan turut tidak ketinggalan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj dengan mengadakan forum bertajuk ‘Solat Kunci Syurga’ pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Forum berkenaan mengetengahkan dua orang ahli panel yang terdiri daripada Penolong Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Abdussalam bin Haji Abdul Rahman dan Awang Mohammad Hazmi bin Haji Ahmad Daud yang merupakan Pensyarah Kanan dari Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan.

Antara yang dibincangkan adalah mengenai peristiwa Israk dan Mikraj yang mempunyai hubung kait dengan perintah menunaikan ibadat solat.

Ibadah ini diperintahkan oleh Allah S.W.T, dengan menjemput Rasulullah S.A.W sendiri datang mengadapNya di Arasy, bukan dengan mengutus malaikat Jibril a.s untuk menyampaikannya ke dunia.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama hadirin lain pada majlis sambutan Israk dan Mikraj di Hotel Antarabangsa Rizqun.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama hadirin lain pada majlis sambutan Israk dan Mikraj di Hotel Antarabangsa Rizqun.
Forum Israk Mikraj yang menampilkan dua panel dengan tajuk ‘Solat Kunci Syurga’.
Forum Israk Mikraj yang menampilkan dua panel dengan tajuk ‘Solat Kunci Syurga’.

Ibadah solat pada mulanya difardukan sebanyak 50 kali solat, siang dan malam, namun Rasulullah S.A.W berulang kali menghadap Allah S.W.T untuk memohon supaya diringankan dan Allah S.W.T memperkenankan permintaan Baginda dengan mengurangkannya kepada lima kali sahaja.

Ini menunjukkan bahawa solat itu hebat statusnya, iaitu hebat cara menyampaikannya kepada Rasulullah S.A.W, malah hebat juga cara melakukannya.

Allah S.W.T menilai seseorang Islam sama ada baik atau tidak, melalui amalan solatnya. Amalan yang akan dihisab terlebih dahulu pada Hari Akhirat kelak adalah amalan solat.

Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan ini bertujuan untuk memperingati dan membesarkan peristiwa agung Israk dan Mikraj junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang mempunyai banyak rahsia dan hikmahnya, di samping mengeratkan silaturahim di antara pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.