Solat Sunat Hajat bagi pelajar PIP

Solat Sunat Hajat bagi pelajar PIP

Oleh Normazlina M.D, Syahmi Hassan & Yusrin Junaidi

Gambar oleh Normazlina M.D, Yusrin Junaidi & Abdul Hakiim Yakof

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah mengadakan sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan bacaan Surah Yasin bagi pelajar kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) di keempat-empat daerah yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini.

Bagi pelajar dari Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Temburong, majlis telah diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, manakala itu, bagi Daerah Tutong ia diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Daerah Belait di Masjid Kampung Pandan 7.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien ialah Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan.

Majlis di daerah ini turut menyaksikan penandatanganan kontrak Perjanjian Biasiswa Khas bagi sesi 2016-2020 antara pihak Yayasan dan dua orang pelajar terpilih iaitu Dayang Nurul Nabilah binti Mohd Basuni dan Dayang Siti Nurasinah binti Mohammad Hamirul Azri.

Kedua-dua pelajar berkenaan merupakan peserta program PIP tahun lalu dan telah mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

Para penerima Biasiswa Khas, Dayang Nurul Nabilah (kiri) dan Dayang Siti Nurasinah (kanan) ketika bergambar ramai bersama Haji Brahim dan Dato Paduka Dr. Haji Affendy.
Para penerima Biasiswa Khas, Dayang Nurul Nabilah (kiri) dan Dayang Siti Nurasinah (kanan) ketika bergambar ramai bersama Haji Brahim dan Dato Paduka Dr. Haji Affendy.

Mereka telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah YSHHB.

Menandatangani bagi pihak Yayasan ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail dan Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Haji Puasa bin Haji Jumat, sambil disaksikan oleh Dato Paduka Dr. Haji Affendy.

Manakala itu, di Daerah Tutong, hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar selaku Ahli Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan.

Di majlis itu, beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada sekolah-sekolah yang digunakan sebagai Pusat Tuisyen PIP di Daerah Tutong, iaitu Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dan Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Dato Paduka Awang Haji Hamiddon bin Haji Ibrahim selaku Pengerusi Bersama Program Intervensi Pendidikan Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan.

Sembahyang Sunat Hajat berjemaah yang diadakan pagi kelmarin di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Sembahyang Sunat Hajat berjemaah yang diadakan pagi kelmarin di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Awang Ahmad Jefri ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil pihak Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.
Awang Ahmad Jefri ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil pihak Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

Majlis di Daerah Belait pula telah dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman selaku Ahli Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan, yang juga telah menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar yang digunakan sebagai Pusat Tuisyen PIP di Daerah Belait.

Majlis di ketiga-tiga daerah berkenaan telah dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Selamat.

Turut hadir di majlis-majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pendidikan serta para pegawai dan kakitangan Yayasan.

Projek kelas tuisyen di bawah program PIP itu merupakan kerjasama antara Yayasan dan Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, dengan dikendalikan oleh para sukarelawan yang berdaftar di Unit Sukarelawan.

Melalui projek ini, pelajar-pelajar yang dikenal pasti sebagai memerlukan bimbingan rapi dalam bidang akademik dan dari keluarga yang berpendapatan rendah serta kurang berkemampuan dapat meneruskan pengajian mereka dengan sempurna hingga ke peringkat lebih tinggi.

ARTIKEL YANG SAMA