Son Heung-Min diberi amaran

Son Heung-Min diberi amaran

SEOUL, 27 Sept – Jurulatih Korea Selatan Uli Stielike membidas sikap Son Heung-Min walaupun penyerang itu mendapatkan sambutan hangat selepas persembahan menariknya untuk Tottenham dalam Liga Perdana (PL) Inggeris.

Stielike menegur Son, 24, yang menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan liga terakhir ketika Tottenham melonjak ke tangga kedua Liga Perdana, gara-gara tingkah laku beliau yang ‘bermasalah’.

“Seperti apa dilihat dari tempat duduk atau di televisyen, saya rasa kelakuannya di luar padang boleh menjadi masalah,” Stielike memberi amaran kelmarin ketika memilih Son untuk skuad 23 pemain kelayakan Piala Dunia menentang Qatar dan Iran bulan depan.

Pengurus dari Jerman itu membayangkan Son dan pemain-pemain yang lain boleh digugurkan pada bila-bila masa jika kelakuan mereka tidak bertambah baik.

“Jika mereka tidak berubah, sebagai seorang jurulatih, saya perlu memikirkan tentang seluruh pasukan. Semua pemain perlu berhati-hati,” Stielike yang tegas dilaporkan sebagai berkata oleh agensi berita Yonhap.

Son Heung-Min menimbulkan masalah dengan jurulatih kebangsaan. – AP
Son Heung-Min menimbulkan masalah dengan jurulatih kebangsaan. – AP

Semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang China awal bulan ini, Stielike menggantikan Son pada saat akhir perlawanan ketika Korea Selatan mendahului 3-2.

Son yang jelas kelihatan kecewa, menendang botol air ketika meninggalkan padang. Stielike kemudian memeluknya dan kelihatan menyebut beberapa patah perkataan, tetapi Son berpaling dengan menendang padang dalam kekecewaan.

Pada Jun, Son meminta maaf selepas melontar tuala ke arah bangku simpanan selepas digantikan semasa tewas 6-1 dalam aksi persahabatan menentang Sepanyol. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA