Songzio tampi...

Songzio tampilkan koleksi gaya Kpop

Oleh Zanyra Dawoud

 

BUDAYA Kpop bukan sahaja semakin popular melalui medium lagu dan siri drama yang berjaya mencetuskan fenomena di kalangan para penggemar di seluruh dunia.

Namun kini, gaya Kpop juga sudah menjadi salah satu trend ikutan semasa yang membuatkan individu yang menggaykan konsep fesyen tersebut kelihatan cukup segar, trendy dan sangat moden.

Justeru pereka fesyen berasal dari Korea Selatan, Zio Song telah mengilhamkan pelbagai rekaan busana gaya Kpop khusus untuk lelaki di bawah jenama Songzio yang dipersembahkan di pentas peragaan yang diadakan di London. Koleksi terbaru daripada Songzio ini dikenali sebagai Misanthrope di mana ia menampilkan gaya terdiri daripada kasual, santai dan juga avant-garde.

Warna pilihan utama bagi kebanyakan busana yang ditampilkan dalam koleksi terbaru ini adalah hitam dan coklat gelap memandangkan ia adalah warna asas dan setentunya dapat memberikan gaya maskulin kepada seseorang lelaki. Di samping itu, beberapa pasang busana juga turut diselitkan dengan warna yang pelbagai seperti ungu, putih dan bercorak jalur.

Manakala dari segi fesyen pula, ia ditampilkan pada gaya yang unik dan tersendiri di mana ada daripadanya yang dilengkapi dengan tali leher, kolar leher yang ditegakkan dan jaket bersaiz besar, Menariknya unsur Kpop lebih menonjol para rekaan yang menggabungkan beberapa gaya dalam busana sehingga ia seolah-olah memiliki beberapa lapisan dan ia jelas sangat kreatif. Rata-rata jenis seluar yang ditampilkan pada rekaan koleksi terbaru ini adalah terdiri daripada jenis skinny yang cukup sinonim dalam gaya Kpop.

Maka, bagi individu yang berhasrat untuk menggayakan gaya Kpop dalam menghadiri sesebuah acara atau membentuk identiti sendiri, koleksi Misanthrope hasil rekaan daripada Songzio ini jelas sesuai untuk digayakan.