Soros ramal Brexit cetuskan ‘Black Friday’

Soros ramal Brexit cetuskan ‘Black Friday’

LONDON, 21 Jun (AFP) – Jutawan George Soros yang terkenal dengan keuntungan pertaruhan terhadap pound dalam krisis mata wang1992, meramalkan kejatuhan sterling jika Britain mengundi untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Hartawan perniagaan itu meramalkan penurunan yang lebih mendadak berbanding “Black Wednesday” sehingga memaksa Britain menarik diri daripada Mekanisme Kadar Pertukaran Eropah, menurut satu artikel dalam akhbar Guardian yang disiarkan lewat semalam.

“Jika Britain meninggalkan EU, ia akan mempunyai sekurang-kurangnya satu kesan yang sangat jelas dan serta-merta yang bakal menyentuh setiap isi rumah: nilai pound akan merosot dengan mendadak,” lelaki berusia 85 tahun itu menulis.

Beliau menganggarkan penurunan mata wang sekurang-kurangnya 15 peratus. “Kemudian ironinya satu pound akan bernilai kira-kira satu euro – satu kaedah untuk ‘menyertai euro’ yang tiada siapa di Britain mahu,” tambah Soros. Pihak pro-Brexit pula menuduh taktik menakut-nakutkan kempen “Kekal” dengan berhujah bahawa undi untuk meninggalkan EU Khamis ini akan merosakkan ekonomi Britain.

Seorang pekempen memegang pelekat ketika menunggu kedatangan pemimpin Parti Kemerdekaan UK (UKIP), Nigel Farage di Clacton-on-Sea, timur England semalam. George Soros meramalkan Brexit bakal mencetuskan ‘Black Friday’ kerana keputusan untuk keluar EU bakal menyebabkan nilai pound sterling jatuh merudum. – AFP
Seorang pekempen memegang pelekat ketika menunggu kedatangan pemimpin Parti Kemerdekaan UK (UKIP), Nigel Farage di Clacton-on-Sea, timur England semalam. George Soros meramalkan Brexit bakal mencetuskan ‘Black Friday’ kerana keputusan untuk keluar EU bakal menyebabkan nilai pound sterling jatuh merudum. – AFP

Soros memberi amaran meninggalkan EU akan menurunkan harga rumah dan menyebabkan kehilangan pekerjaan sehingga berpotensi mencetuskan kemelesetan. Salah seorang lelaki terkaya di dunia itu menurut majalah Forbes memberi amaran bahawa “kuasa spekulatif” yang kuat “tidak akan sabar-sabar untuk mengeksploitasi apa-apa kesilapan perhitungan kerajaan British atau pengundinya”.

“Satu undi untuk Brexit akan menjadikan beberapa orang sangat kaya tetapi kebanyakan pengundi jauh lebih miskin,” Soros menulis. “Satu undi untuk meninggalkan EU boleh mengakhiri minggu dengan Black Friday, dan akibat yang serius bagi orang biasa.”

Selepas tinjauan awal menunjukkan kelebihan kem “Kekal” agak tipis, pasaran global bangkit dan pound meningkat kepada paras tertinggi sejak tiga bulan. Tetapi tinjauan terkini yang disiarkan lebih awal daripada undian 23 Jun mencadangkan keputusannya boleh jadi bertentangan.