Soroti kisah Mr Donat Karamel tawan hati novelis

Soroti kisah Mr Donat Karamel tawan hati novelis

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

NOVEL Mr Donat Karamel karya Hanny Esandra telah diadaptasi menjadi sebuah drama bagi mengisi slot Lestary TV3 yang diterajui oleh Hafidz Roshdi dan Azira Shafinaz sebagai pelakon utama.

Ia merupakan sebuah drama terbitan JS Pictures Sdn Bhd arahan sutradara Azman Yahya dan skrip oleh Rehal Nuharis. Selain itu, siri drama ini turut dibintangi oleh Idris Khan, Fimie Don, Syazuwan Hassan DFKL, Roy Azman, Noniswara, Mona Allen, Sheila Rusly, Shamsul Ghau Ghau, Maria Jaafar dan Sophia Liana.

Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai seorang novelis bernama Anggun Qairah lakonan Azira Shafinaz yang gemar menulis dan makan donat karamel di sebuah kafe pada setiap hari tanpa jemu. Di situ dia khusyuk mencurahkan ilham dan tenggelam dalam dunia ciptaannya sendiri. Suatu hari dia bertemu dengan Faiq Faiqal lakonan Hafidz Roshdi secara tidak sengaja dalam satu kemalangan kecil yang merosakkan segala khazanah pentingnya iaitu cermin mata dan komputer ribanya yang hancur digilis kereta. Dengan rasa simpati, Faiq telah membantu Anggun dan menggantikan dua barang penting milik Anggun. Malangnya ketika peristiwa tersebut berlaku, Anggun yang memiliki masalah rabun penglihatan tidak dapat mengecam siapa lelaki yang melanggarnya.

Faiq yang menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Design Dynamic Berhad pula seolah-olah mengalami masalah gila bayang sehingga sanggup turun pangkat untuk menjadi seorang pelayan di Kafe Donat Karamel semata-mata kerana mahu mendekati gadis idamannya dengan menyamar sebagai Rafiqi yang kononnya meminati semua karya garapan Anggun.

Siri drama Mr Donat Karamel dibintangi oleh Azira Shafinaz dan Hafidz Roshdi.
Siri drama Mr Donat Karamel dibintangi oleh Azira Shafinaz dan Hafidz Roshdi.

Hari demi hari hubungan mereka semakin berkembang mekar sehinggalah Zhariff lakonan Idris Khan, lelaki sekampung dengan Anggun, mula mengganggu hubungan mereka. Namun, hubungan mereka tetap kukuh sehinggalah hari bersejarah mereka.

Anggun berasa kecewa apabila mengetahui Rafiqi yang sebenarnya adalah Faiq. Dia merasakan Faiq tidak ikhlas dalam perhubungan dan menipunya selama ini.

Lalu dari situ bermulalah misi memikat isteri yang dijalankan oleh Faiq. Pelbagai adegan lucu yang Faiq ciptakan. Zhariff pula tidak jemu untuk meminta-minta Anggun daripada Faiq. Sebagai suami Faiq rasa tercabar. Anggun pula salah faham bila terdengar pertengkaran mereka lalu membawa diri ke kampung. Lalu berjayakah Faiq untuk menawan kembali hati isterinya dan kekal hidup bahagia.
Bagi mengetahui jawapan kepada persoalan tersebut, jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Mr Donat Karamel yang disiarkan pada setiap hari Rabu hingga Jumaat, jam 9.00 malam di saluran TV3.

ARTIKEL YANG SAMA