Sotong sumbat jadi tarikan

Sotong sumbat jadi tarikan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 23 Jun – Penduduk di Daerah Belait, terutamanya yang gemar berkunjung ke Gerai Tudung Saji dan Gerai Simpur, pasti mengetahui hidangan Sotong Sumbat dan Ikan Pari di gerai keluarga Haji Mohd Nor bin Matidin yang popular di daerah ini.

Media Permata, hari ini, berpeluang menemui Haji Mohd Nor, 72, yang telah membuka Gerai Ramadan di rumah beliau sendiri di Simpang 396 Jalan Singa Menteri.

Beliau yang telah berkecimpung dalam jualan makanan selama 39 tahun memberitahu Sotong Sumbat dan Ikan Pari mereka popular dalam kalangan orang ramai di gerai-gerai di mana beliau berniaga pada hari biasa.

Atas permintaan yang tinggi daripada orang ramai, beliau dan keluarga memutuskan untuk berniaga dari pondok rumah sendiri sejak tahun lepas untuk kemudahan pelanggan mereka yang kadang-kadang susah mencari tempat letak kereta dan tempat petak perniagaan yang sempit.

“Alhamdulillah, kini ramai yang datang dengan senang hati untuk membeli makanan-makanan sajian yang kami hidangkan dan keramaian pelanggan pun bertambah hingga ada yang perlu beratur dan ada yang terpaksa membuat tempahan awal sebelum habis,” ujar beliau.

Sotong Sumbat dan Ikan Pari yang menjadi tarikan masyarakat di Daerah Belait.
Sotong Sumbat dan Ikan Pari yang menjadi tarikan masyarakat di Daerah Belait.

pg08_150624_c

Haji Mohd Nor ketika ditemui di gerai keluarganya yang terletak di luar rumah beliau sendiri.
Haji Mohd Nor ketika ditemui di gerai keluarganya yang terletak di luar rumah beliau sendiri.

Menurut beliau lagi, selain daripada kedua-dua masakan tarikan itu, mereka turut menjual nasi lemak ayam kupor, ikan bakar, pais daging, pulut panggang, mi jawa, mi goreng, nasi campur dan cendol.

Haji Mohd Nor menambah, perniagaan keluarga itu turut mendapat sokongan daripada anak-anak dan cucu yang turut memberi bantuan, dan menyatakan hasrat supaya mereka dapat meneruskan perniagaan keluarga ini pada masa hadapan.

“Berniaga bukan sahaja dapat mendidik mereka agar berdikari sendiri dalam membina kehidupan masing-masing malah supaya mereka tidak akan selalu bergantung kepada kerajaan Kebawah Duli dan menasihati mereka yang ingin berkecimpung dalam perniagaan seperti ini agar berusaha dengan tekun agar dapat membina hidup daripada hasil jualan produk tersendiri,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA