Southgate ditawarkan jawatan bos England

Southgate ditawarkan jawatan bos England

LONDON, 24 Nov – Gareth Southgate telah ditawarkan jawatan pengurus England dan akan disahkan bagi jawatan itu dalam masa terdekat, menurut laporan-laporan akhbar Britain, hari ini.

Southgate yang baru-baru ini menyelesaikan empat perlawanan sebagai pengurus sementara, telah ditemu bual oleh lima orang panel di pusat bola sepak kebangsaan St George Park di Burton-on-Trent, pusat England, Isnin lepas.

Southgate adalah satu-satunya calon yang telah ditemu duga bagi jawatan tersebut dan akhbar-akhbar termasuk The Daily Telegraph, The Guardian dan The Sun menyatakan bahawa dia telah ditawarkan bagi jawatan tersebut.

Pertubuhan Bola Sepak England bagaimanapun belum memberikan ulasan bagi proses tersebut.

Gareth Southgate dilaporkan ditawarkan jawatan pengurus England dan dijangka akan memegang jawatan tersebut dalam masa terdekat. – AP
Gareth Southgate dilaporkan ditawarkan jawatan pengurus England dan dijangka akan memegang jawatan tersebut dalam masa terdekat. – AP

Southgate, 46, dipercayai telah ditawarkan kontrak empat tahun, yang akan membawanya terus ke Kejohanan Eropah 2020. Bekas pengurus Middlesbrough itu yang juga jurulatih bawah 21 tahun England mengambil peranan pengurus sementara England selepas Sam Allardyce meninggalkan jawatan tersebut.

Ketika mengendalikan England, Southgate mempunyai rekod dua menang dan dua seri, termasuk seri 2-2 dalam perlawanan persahabatan menentang Sepanyol di Wembley minggu lepas. – AFP