Southgate mampu kendali perlawanan besar

Southgate mampu kendali perlawanan besar

LONDON, 16 Nov – Gareth Southgate berkata dia sudah membuktikan kemampuannya menangani ‘perlawanan besar’ selepas menamatkan kendalian empat perlawanan selaku pengurus sementara England dengan keputusan seri 2-2 ke atas Sepanyol.

Dilantik sebagai pengurus sementara berikutan pemecatan Sam Allardyce, Southgate menerajui England dengan dua kemenangan dan dua seri dalam kendalian singkatnya sebagai pengurus sementara, dengan kemuncak keputusan pada perlawanan di Wembley.

Bagaimanapun dia enggan mengisytiharkan minat dalam kedudukan tersebut, yang kini akan dibincangkan oleh Pertubuhan Bola Sepak England (FA), namun melahirkan rasa bangga terhadap dirinya sendiri.

“Saya sudah membuktikan kepada diri saya bahawa saya mampu menangani perlawanan-perlawanan besar, dengan dibantu oleh kakitangan saya, saya boleh secara taktikal mempersiapkan pasukan untuk menentang pasukan hebat dan memberikan mereka cabaran sukar,” Southgate memberitahu para wartawan.

“Saya merasakan setiap situasi yang telah kami lalui, kebanyakannya begitu rumit dan kami mampu menanganinya.

Gareth Southgate menunjukkan kemampuannya bahawa dia mampu mengendalikan perlawanan besar setelah seri 2-2 menentang Sepanyol. – AP
Gareth Southgate menunjukkan kemampuannya bahawa dia mampu mengendalikan perlawanan besar setelah seri 2-2 menentang Sepanyol. – AP

“Ini satu pengalaman yang menakjubkan. Saya begitu menikmati akan kerjasama bersama para pemain. Saya boleh melihat potensi pasukan.

“Apabila saya mengambil alih pasukan, pasukan dalam keadaan tidak stabil. Kami mengembalikan kestabilan itu dan membina satu platform buat mereka untuk terus memajukan diri.

“Dari segi bidang kuasa yang kami dipinta untuk lakukan, kami telah memenuhinya. Saya bangga kerana telah menerajui negara buat beberapa perlawanan penting dan mengalami bagaimana rasanya.”

Laporan-laporan media Britain mencadangkan Southgate, bekas jurulatih England Bawah 21 tahun, akan ditawarkan kerja sepenuh masa, namun dia berkata dia tidak tahu bila keputusan itu akan dibuat. – AFP