Southgate mungkin ganti Hodgson

Southgate mungkin ganti Hodgson

LONDON, 28 Jun (AFP) – Gareth Southgate yang mengendalikan pasukan kebangsaan England Bawah 21 tahun dilihat menjadi salah satu calon utama untuk menggantikan Roy Hodgson sebagai pengendali England berikutan terkeluarnya England daripada saingan Euro 2016.

Hodgson mengundur diri selepas England diaibkan Iceland 2-1 awal pagi tadi, sekali gus tersingkir daripada saingan Euro 2016 yang memasuki fasa suku akhir.

Kontrak Hodgson bersama Persatuan Bola Sepak England (FA) bakal tamat selepas Euro namun menerusi kenyataan selepas tamat perlawanan, bekas pengendali Fulham dan Liverpool itu mengesahkan peletakan jawatannya yang turut diikuti oleh staf kejurulatihan, Gary Neville dan Ray Lewington.

Buat masa ini, Southgate adalah pengurus pasukan Bawah 21 Tahun England dan membawa mereka ke Kejohanan Eropah tahun lalu namun menamatkan saingan di tangga tercorot dalam kumpulan yang turut dihuni Portugal, Sweden serta Itali.

Southgate juga pernah mengendalikan Middlesbrough selama tiga tahun namun tidak mampu menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan pada 2009.

Selain Southgate, Neville dan Eddie Howe juga turut disenaraikan sebagai pengganti Hodgson.

Neville dilantik selaku pembantu Hodgson pada 2012 namun tidak mempunyai pasukan selepas dipecat oleh Valencia, Mac lalu.

Howe pula memainkan watak penting dalam membawa Bournemouth daripada Liga Dua ke Liga Perdana Inggeris dengan dia membantu pasukannya menamatkan saingan di tangga ke-16 musim lalu.

ARTIKEL YANG SAMA