Southgate sandaran England pulih maruah

Southgate sandaran England pulih maruah

LONDON, 7 Okt – England berharap untuk bangkit selepas penyingkiran memalukan Sam Allardyce ketika pengurus sementara Gareth Southgate mengambil alih tugas buat kali pertama bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Malta esok.

Hanya 12 hari selepas Allardyce dipaksa meletak jawatan dalam situasi memalukan berikutan komen tidak berhati-hati kepada wartawan yang menyamar, Southgate dan pemainnya perlu menunjukkan prestasi positif untuk memulihkan reputasi bola sepak Inggeris yang tercemar. Apabila Southgate memimpin pasukan untuk perlawanan Kumpulan F di Wembley, dia akan menjadi pengurus England ketiga memikul tugas itu dalam tiga perlawanan terakhir negara berkenaan.

Roy Hodgson berhenti serta merta selepas kekalahan memalukan England kepada Iceland pada Euro 2016, manakala Allardyce hanya mengharungi satu perlawanan – menang 1-0 dalam perlawanan pembukaan kempen kelayakan menentang Slovakia. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mungkin menjadi pilihan impian FA, malah kontraknya juga akan tamat pada akhir musim ini.

Pemain sayap Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain menjelaskan berkenaan ciri Wenger, tetapi dia kagum dengan kesungguhan Southgate dan percaya jurulatih itu akan membantu mengemudi pasukan buat masa ini. “Semua orang mengenali Arsene Wenger, seorang pengurus yang hebat, tetapi sekarang terlalu banyak perkara yang berlaku dan semua orang memberi tumpuan kepada Gareth,” kata Oxlade-Chamberlain. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA