Southgate tagih masa depan

Southgate tagih masa depan

LONDON, 15 Nov – Gareth Southgate berkata dia mahu tahu dalam beberapa minggu ini sama ada khidmatnya sebagai pengurus England bersifat sementara atau terus dikekalkan untuk menerajui skuad The Three Lions.

Bekas pertahanan England itu telah diberikan tugasan pengurus sementara berikutan keputusan dramatik Persatuan Bola Sepak Inggeris mengetepikan Sam Allardyce selepas satu perlawanan berakhir dengan komen kontroversinya kepada wartawan yang menyamar.

Southgate telah mengendalikan tiga perlawanan England termasuk kemenangan England 3-0 ke atas musuh lama Scotland dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Wembley Jumaat lalu, kemenangan jerih payah ke atas Malta dan seri tanpa jaringan di Slovenia.

Khidmat sementara beliau berakhir selepas aksi persahabatan menentang Sepanyol di Wembley lewat hari ini dan pengurus berusia 46 tahun itu yang diambil daripada tugasan Bawah-21 England jelas berminat untuk terus menggalas tugasan itu.

Selepas Sepanyol bertemu England sekali lagi sejak Mac, Southgate berkata: “Amat penting bagi saya untuk mengetahui apa yang saya lakukan selepas pertengahan November. Kami ada persiapan untuk Kejohanan Bawah-21 Tahun Eropah dan pemain senior pula menghadapi pusingan kelayakan seterusnya (Mac depan).

Southgate (tengah) semasa menghadiri sesi latihan bersama skuad England di St George’s Park, Burton-on-Trent pada 8 November sebelum menentang Scotland untuk kelayakan Piala Dunia pada 11 November lalu. – AFP
Southgate (tengah) semasa menghadiri sesi latihan bersama skuad England di St George’s Park, Burton-on-Trent pada 8 November sebelum menentang Scotland untuk kelayakan Piala Dunia pada 11 November lalu. – AFP

“Sudah tentu semua orang ingin tahu. Saya rasa pada akhir November atau pertengahan Disember supaya kita boleh membuat keputusan siapa yang bertanggungjawab untuk apa-apa tugasan dalam organisasi. Yang jelas itu bukan keputusan saya. Saya menikmati apa yang saya lakukan setakat ini.

“Saya amat berbangga kerana telah membawa negara saya dakam tiga perlawanan dengan satu lagi Selasa ini (esok), dan terlibat dalam permainan tekanan tinggi England-Scotland adalah satu pengalaman yang begitu bermakna.”

Dengan England meraih tujuh mata kelayakan Piala Dunia daripada kemungkinan sembilan dan dalam landasan ke Rusia 2018, bekas pengurus Middlesbrough itu cuba menenangkan kebimbangannya kerana kekurangan pengalaman pada peringkat elit.

“Saya fikir jika anda melihat jurulatih terkemuka di dunia, mereka mempunyai peluang pada satu ketika sebelum bekerja dengan sebuah kelab yang besar,” katanya.

“Mungkin anda membuktikan diri anda amat kerdil atau mungkin tidak. Pep (Guardiola) terus ke Barcelona setelah bekerja dengan pasukan B. Jalan semua orang berbeza. Saya tidak fikir ada satu laluan yang ideal.”

Kapten England Wayne Rooney, yang kembali ke kesebelasan utama menentang Scotland, dan pertahanan Ryan Bertrand, tidak diturunkan Jumaat laludan terlepas sesi latihan di padang latihan Tottenham Hotspur di utara London pada Isnin kerana ada beberapa ‘isu kecil’, kata FA Inggeris. – AFP