Southgate tidak gentar buat keputusan besar

Southgate tidak gentar buat keputusan besar

LONDON, 10 Okt – Pengurus sementara England, Gareth Southgate (gambar), mendedahkan betapa dirinya mempunyai keberanian bagi memuktamadkan keputusan sukar meskipun dia berada tengah-tengah desakan untuk menggugurkan kapten yang berada di bawah prestasi sebenar, Wayne Rooney.

Rooney diejek oleh sesetengah penyokong ketika England mencatat kemenangan 2-0 ke atas Malta dalam aksi kelayakan Piala Dunia Sabtu lalu, dan bekas kapten pasukan kebangsaan, Alan Shearer turut menggesa pemain itu digugurkan.

Southgate berkata, dia “sangat berpuas hati” dengan prestasi Rooney namun menggambarkan peranannya selaku pengurus di Middlesbrough sebelum ini – di mana dia perlu memecat rakan staf sebagai bukti kukuh kemampuannya untuk memuktamadkan keputusan sukar.

Southgate mengambil alih tugas berkenaan daripada Sam Allardyce yang meninggalkan kerusi itu selepas pembongkaran akhbar, satu situasi yang digambarkannya sebagai “tidak menyenangkan”.

Ketika diajukan soalan sekiranya dia bersedia untuk mengambil keputusan meletakkan Rooney – pemegang rekod penjaring terbanyak England – di bangku simpanan selepas ini, Southgate berkata: “Terlalu banyak bayangan dalam persoalan ini.

“Namun apabila kami memilih sebuah pasukan, kami memilih pasukan yang dirasakan tepat untuk sesuatu perlawanan. “Dengan jumlah peluang dicipta pasukan, saya tidak fikir kami terlalu jauh tersasar daripada apa yang diinginkan.

“Daripada pandangan saya, terutamanya (pemain yang baru disenaraikan) prestasi Jesse Lingard, saya gembira mengenainya. Ia sesuatu yang sangat positif.”

Southgate yang dijadual membawa pasukannya ke Slovenia esok, menolak pandangan betapa keputusan Manchester United menggugurkan Rooney dalam tiga perlawanan sebelum ini, bakal menjadi antara faktor untuknya membuat keputusan terhadap pemain berkenaan.

“Saya fikir pada masa ini, ia sesuatu yang tidak relevan,” katanya.

“Sebahagiannya kerana kami mempunyai 30 peratus daripada Liga Perdana Inggeris layak buat England. Daripada itu, ada antaranya tidak mahu bermain; ada juga yang tidak cukup bagus untuk beraksi.

“Dan kamu mempunyai seorang kapten yang terlalu terdesak untuk mengepalai pasukan di dalam mahupun di luar padang dan secara terus menerus mahu menyumbang sesuatu kepada kumpulan pemain ini. – AFP