S&P naik taraf MISC kepada ‘BBB+’

S&P naik taraf MISC kepada ‘BBB+’

SINGAPURA, 12 Ogos – S&P Global Ratings meningkatkan penafaran kredit korporat jangka panjang ke atas MISC Bhd kepada ‘BBB+’ daripada ‘BBB’ dengan prospek stabil.

Ia juga mengesahkan penarafan skala rantau ASEAN jangka panjang ‘axA+’ ke atas syarikat perkapalan berpangkalan di Malaysia itu.

Pada masa sama, S&P menaikkan penarafan jangka panjang tidak bercagar senior ke atas pinjaman MISC kepada ‘BBB+’ daripada ‘BBB’.

“Penaikan taraf itu mencerminkan jangkaan kami yang MISC akan mengekalkan kecukupan aliran tunai kukuh sehingga 2018 disebabkan aliran tunai yang mantap, perbelanjan modal yang sederhana dan dasar kewangan berhemat,” kata Penganalisis Kredit S&P Global Ratings, Wei Kiat Ng dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami menjangka yang nisbah hutang syarikat kepada perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) akan kekal di bawah 2.5 kali sehingga 2018.

“Kami melaraskan hutang dengan menambah pajakan operasi dan pencen serta menolak tunai lebihan,” kata Wei.

Wei berkata, prestasi MISC pada separuh pertama 2016 adalah mantap dan lebih baik daripada dijangka, dengan aliran tunai kekal berdaya tahan ketika keadaan pasaran yang sukar. – Bernama